Trump bertemu Jong Un kali kedua bulan depan
Astro Awani
Januari 18, 2019 05:55 MYT
Januari 18, 2019 05:55 MYT
Sidang kemuncak kedua Amerika Syarikat (AS) dan Korea Utara dijadual berlangsung hujung Februari ini.
White House mengumumkan Presiden Donald Trump dan Kim Jong Un bersetuju untuk mengadakan pertemuan itu.
Perkara itu dipersetujui selepas Trump bertemu ketua perunding nuklear Pyongyang, Kim Yong Chol di Washington.
"Trump berjumpa Yong Chol selama satu jam setengah, membincangkan isu denuclearisation dan sidang kemundak kedua, yang akan diadakan hujung Februari.
"Presiden berharap untuk bertemu Jong Un di lokasi yang akan diumumkan kemudian," kata jurucakap White House, Sarah Sanders pada Jumaat.
Tiada perkembangan signifikan dicatat sejak kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan kali pertama di Singapura, Jun lalu.
Setakat ini, Vietnam yang mempunyai hubungan baik dengan kedua-dua negara dijangka menjadi pilihan sebagai lokasi pertemuan.
Kemungkinan lain ialah di Bangkok, Hawaii atau kembali ke Singapura, menurut beberapa laporan.
Terdahulu, Yong Chol yang tiba di Washington pada Khamis mengadakan pertemuan selama 45 minit dengan Setiausaha Negara AS Mike Pompeo.
#Amerika Syarikat
#Donald Trump
#Kim Jong Un
#Kim Yong Chol
#Korea Utara
#pertemuan
#sidang kemuncak
#Vietnam
#White House