Trump beri amaran sasar 52 lokasi kepentingan Iran jika diancam
Nailah Huda
Januari 5, 2020 11:02 MYT
Januari 5, 2020 11:02 MYT
KETEGANGAN antara Amerika Syarikat dan Iran tidak dilihat akan reda dalam masa yang terdekat.
Tentera Amerika Syarikat sudah menetapkan 52 lokasi sasaran balas ke atas Iran sekiranya negara itu bertindak untuk balas dendam, menurut kenyataan Presiden Donald Trump menerusi Twitter.
Tegas Trump, kesemua sasaran itu akan diserang dengan “pantas dan sangat kuat” jika pihaknya diancam Tehran.
Sasaran lokasi serangan balas itu bersamaan dengan jumlah tebusan rakyat AS yang berada di Iran selepas Kedutaan AS ditawan di Tehran pada 1979.
Antara sasaran tersebut merupakan “sangat penting kepada Iran dan budaya Iran”, namun beliau tidak mendedahkan di mana lokasi sasaran tersebut terletak.
Amaran itu dikeluarkan selepas kumpulan yang menyokong Iran melancarkan serangan peluru berpandu terhadap lokasi kepentingan AS di Iraq.
Pada masa yang sama, lebih ramai anggota tentera AS sertai 650 anggota lain yang sudah dikerahkan ke rantau Asia Barat susulan pembunuhan Jeneral Qassem Soleimani dalam serangan AS pada Jumaat.
Jabatan Pertahanan AS menjangkakan 2,900 lagi anggota tentera bakal dikerahkan bagi menangani sebarang ancaman terhadap kepentingan AS di rantau itu.
Trump, sebelum menjadi Presiden, pernah menyatakan pada 2012 bahawa bekas Presiden Barack Obama akan memulakan peperangan menentang Iran sebagai modal politik.
#Amerika Syarikat
#Baghdad
#Barack Obama
#Donald Trump
#Hassan Rouhani
#Iran
#Iraq
#Jeneral Qassem Soleimani