Trump bayangkan Singapura jadi lokasi sidang kemuncak dengan Kim Jong-un
Agensi
Mei 1, 2018 12:27 MYT
Mei 1, 2018 12:27 MYT
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin memberitahu bahawa beliau amat yakin sidang kemuncak yang mempertemukan dirinya dan pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un bakal berlangsung, lapor AFP.
Sebelum ini, pernah dilaporkan bahawa pertemuan itu dijangka diadakan di Zon Bebas Tentera antara dua negara Korea.
Minggu lalu, Trump menyatakan terdapat dua atau tiga lokasi lain yang sedang dipertimbangkan untuk pertemuan bersejarah itu, yang bakal menjadi pertemuan sulung antara Presiden AS dengan pemimpin Korea Utara.
Begitupun, lokasi-lokasi berkenaan belum didedahkan kepada umum.
Dalam satu sidang akhbar bersama Presiden Nigeria Muhammadu Buhari, Trump mengesahkan bahawa Singapura sedang dipertimbang sebagai lokasi ideal, namun penilaian sepenuhnya masih dijalankan.
"Ada sesuatu yang saya suka mengenainya, kerana bila anda ada di sana (Zon Bebas Tentera), dan hal yang dirundingkan disepakati, pastinya ada satu sambutan yang bermakna di lokasi berkenaan, dan bukan di negara pihak ketiga," ujar Trump.
"Kita juga melihat neara-negara lain seperti Singapura. Semua orang mahukan kami (Trump dan Jong-un) bertemu. Ia bakal menjadi acara yang sangat besar," tambahnya.
Lokasi berpotensi lain termasuk Mongolia dan Switzerland.
#AS
#Democratic People's Republic of Korea
#Donald Trump
#Kim Jong Un
#Korea Utara
#sidang kemuncak
#Singapura
#Switzerland