Trump batalkan persidangan dengan Korea Utara
Reuters
Mei 24, 2018 23:55 MYT
Mei 24, 2018 23:55 MYT
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump membatalkan persidangan antara beliau dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un.
Dalam satu surat yang dihantar kepada pemimpin Korea Utara itu, Trump berkata keputusan itu dibuat kerana beliau merasakan Jong-Un meluahkan kemarahan yang melampau dalam kenyataan yang dibuat baru-baru ini.
"Oleh kerana yang demikan, saya merasakan perjumpaan yang dijadualkan pada 12 Jun di Singapura tidak sesuai diadakan," katanya.
Pengumuman itu dibuat pada Khamis, walaupun negara Asia itu telah bersetuju menghentikan program nuklearnya dan sedang memusnahkan terowong di tapak ujian.
Tambah Trump lagi, ia merupakan 'peluang yang terlepas' dan berharap dapat berjumpa Kim pada masa lain.
Terdahulu pada Khamis, kerajaan Korea Utara mengulangi amaran untuk menarik diri daripada persidangan tersebut dan bersedia untuk melancarkan peperangan nuklear dengan Washington jika perlu.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh media negara itu, Naib Menteri Luar Negara, Choe Son Hui telah menyelar Naib Presiden AS, Mike Pence sebagai 'boneka politik' kerana membandingkan Korea Utara dengan Libya.
Beberapa media antarabangsa yang telah dipilih oleh negara Asia itu turut dijemput untuk menyaksikan pemusnahan terowong di tapak Punggye-ri pada Khamis sebagai bukti Korea Utara komited dalam menghentikan program nuklearnya.
#Amerika Syarikat
#Asia
#Choe Son Hui
#Donald Trump
#Kim Jong-un
#Korea Utara
#Libya
#Mike Pence
#persidangan
#presiden
#program nuklear
#Singapura