Trump batal pertemuan rahsia bersama Taliban
Nailah Huda
September 8, 2019 08:35 MYT
September 8, 2019 08:35 MYT
DONALD Trump mengumumkan pada Sabtu, telah membatalkan satu pertemuan rahsia bersama kumpulan militan Taliban.
Menurut beberapa tweet dimuat naik Presiden Amerika Syarikat (AS) itu, beliau bersama kumpulan itu serta beberapa pemimpin kerajaan Afghanistan dijangka bertemu pada Ahad, di Camp David.
Namun, pertemuan itu dibatalkan selepas kumpulan militan itu mengakui telah melakukan serangan bom kereta pada Khamis di Kabul, mengorbankan 12 orang termasuk seorang tentera warga AS.
Sebelum itu, Washington dan Taliban semakin hampir mencapai persetujuan perdamaian.
Wakil rundingan AS Zalmay Khalilzad pada Isnin lalu mengumumkan bahawa kerajaannya sedang mengusahakan satu perjanjian damai bersama Taliban.
Sebahagian daripada rundingan itu melibatkan Washington menarik balik 5,400 anggota tentera dari Afghanistan dalam jangka masa 20 minggu.
Kini, seramai 14,000 anggota tentera AS masih kekal di negara itu.
Kata Trump, “Sekiranya mereka tidak boleh menepati gencatan senjata ketika rundingan sedang berlangsung dan sehingga membunuh 12 orang, ia bermaksud mereka tidak mampu merundingkan satu persetujuan yang bermakna.”
Menurut Trump, tindakan Taliban untuk menjalankan serangan tersebut hanya untuk mengukuhkan posisi mereka dalam rundingan itu.
“Berapa lama lagi mereka ingin berlawan?” soal Trump menerusi Twitter.
Namun, pendedahan yang dibuat oleh Trump mencetus kemarahan orang ramai.
Ia kerana, pertemuan bersama kumpulan militan itu dilihat tidak menghormati ulang tahun ke-18 sejak berlakunya 9/11, serangan pengganas terbesar di AS, pada Rabu depan.
Pada Khamis, seorang anggota tentera AS serta seorang askar warga Romania terkorban dalam serangan bom kereta yang didakwa Trump telah dilancarkan oleh Taliban.
Setakat ini, hampir 3,500 anggota tentera gabungan antarabangsa terkorban di Afghanistan sejak kemasukan tentera Amerika pada 2001.
Namun, jumlah nyawa yang terkorban dalam kalangan rakyat Afghanistan lebih sukar direkod.
Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikeluarkan pada Februari lalu, lebih 32,000 rakyat Afghanistan maut akibat konflik tersebut.
#Afghanistan
#Amerika Syarikat
#bom kereta
#Camp David
#Donald Trump
#gencatan senjata
#Kabul
#militan
#PBB
#pengganas
#perjanjian damai
#serangan
#Taliban
#tentera
#Washington