Trump bakal jumpa Abe sebelum sidang kemuncak AS - Korea Utara
Reuters
Mei 28, 2018 06:06 MYT
Mei 28, 2018 06:06 MYT
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bakal mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe sebelum sidang kemuncak AS dan Korea Utara berlangsung.
White House menerusi kenyataan terbaharunya menyebut kedua-dua pemimpin ini mengadakan perbincangan melalui telefon pada Isnin.
Kenyataan sama juga menyebut bahawa misi kedua-dua pemimpin ini adalah bagi mencapai persetujuan terhadap pemansuhan pelan Korea Utara berkenaan penggunaan senjata nuklear, kimia dan biologi serta program peluru berpandu balistik.
Sebelum itu, agensi berita Jepun, Kyodo memetik Abe sebagai berkata bahawa kedua-dua pemimpin juga bersetuju memberi kerjasama untuk mencapai misi dan visi mereka menerusi sidang kemuncak itu.
Minggu lalu, Trump membuat keputusan menarik diri daripada sidang kemuncak tersebut yang sepatutnya berlangsung pada 12 Jun ini di Singapura namun menimbangkan semula keputusan tersebut.
Ahad lalu juga beberapa pegawai AS dan Korea Utara mengadakan pertemuan di Panmunjom yang merupakan sebuah kampong di Zon Demiliterasasi (DMZ) di sepanjang sempadan Korea Utara dan Korea Selatan.
Walaupun kedua-dua negara bersepakat mengadakan pertemuan menerusi sidang kemuncak itu, namun kedua-dua pemimpin ini tidak memfokuskan kepada agenda sebenar pertemuan di mana Korea Utara masih menolak tuntutan AS dalam memansuh sepenuhnya program senjata nuklear yang kini mengancam Washington.
Tiada kenyataan penuh dari White House mengenai pertemuan Trump dan Abe namun mereka bakal bertemu pada satu mesyuarat G7 di La Malbaie, Quebec Kanada pada 8 dan 9 Jun depan.
Media di Jepun bagaimanapun tidak menolak pertemuan di antara kedua-dua pemimpin mungkin boleh berlaku sebelum mesyuarat di Kanada tersebut.
#Amerika Syarikat
#Donald Trump
#Jepun
#Kim Jong Un
#Korea Utara
#nuklear
#peluru berpandu
#senjata kimia
#Shinzo Abe