Trump arah tubuh dana kekayaan berdaulat Amerika, cadang beli TikTok

Agensi
Februari 3, 2025 07:10 MYT
Presiden Trump menandatangani perintah eksekutif untuk menubuhkan dana kekayaan berdaulat dalam tempoh setahun, dengan menegaskan, dana itu berpotensi membeli aplikasi video pendek TikTok.
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Isnin menandatangani perintah eksekutif untuk menubuhkan dana kekayaan berdaulat dalam tempoh setahun, dengan menegaskan, dana itu berpotensi membeli aplikasi video pendek TikTok.
Trump, bagaimanapun, tidak memberi butiran lanjut selain tidak menjelaskan bagaimana dana tersebut akan berfungsi.
Kebiasaannya, dana kekayaan berdaulat bergantung pada lebihan bajet negara untuk membuat pelaburan, sedangkan AS beroperasi dengan defisit.
Selain itu, penubuhannya juga berkemungkinan memerlukan kelulusan Kongres.
“Kami akan mencipta banyak kekayaan untuk dana ini,” kata Trump kepada wartawan.
“Dan saya rasa sudah tiba masanya negara ini mempunyai dana kekayaan berdaulat.”
Trump sebelum ini pernah mencadangkan penubuhan mekanisme pelaburan kerajaan seperti ini semasa menjadi calon Presiden dengan menyatakan bahawa ia boleh membiayai “usaha nasional yang hebat” seperti projek infrastruktur termasuk lebuh raya dan lapangan terbang, pembuatan serta penyelidikan perubatan.
Pegawai pentadbiran tidak menjelaskan bagaimana dana itu akan beroperasi atau dibiayai, tetapi Trump sebelum ini berkata, ia boleh dibiayai melalui “tarif dan kaedah pintar lain.”
Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent memberitahu wartawan, dana itu akan ditubuhkan dalam tempoh 12 bulan.
“Kami akan menjana pendapatan aset dalam lembaran imbangan Amerika Syarikat untuk rakyat,” kata Bessent.
“Akan ada gabungan aset cair dan aset lain yang akan kami manfaatkan untuk rakyat.”
Menurut laporan The New York Times dan Financial Times, pentadbiran Joe Biden sebelum ini juga mempertimbangkan untuk menubuhkan dana kekayaan berdaulat sebelum Trump memenangi pilihan raya pada November.
Para pelabur di Wall Street terkejut dengan pengumuman ini.
“Penubuhan dana kekayaan berdaulat biasanya menunjukkan bahawa sesebuah negara mempunyai lebihan simpanan yang boleh digunakan, tetapi dalam kes AS, ia tidak selari dengan realiti ekonomi,” kata Colin Graham, ketua strategi pelaburan pelbagai aset di Robeco, London.
Menurut Forum Antarabangsa Dana Kekayaan Berdaulat, terdapat lebih 90 dana kekayaan berdaulat di seluruh dunia yang menguruskan lebih AS$8 trilion dalam aset.
Dalam satu lagi kejutan, Trump mencadangkan bahawa dana kekayaan berdaulat ini boleh membeli TikTok yang masa depannya menjadi tanda tanya selepas undang-undang yang mengarahkan pemiliknya dari China, ByteDance, untuk menjual aplikasi itu atas alasan keselamatan negara atau berdepan larangan, berkuat kuasa pada 19 Januari.
Selepas memegang jawatan Presiden pada 20 Januari lalu, Trump menandatangani perintah eksekutif bagi menangguhkan penguatkuasaan undang-undang tersebut selama 75 hari.
Trump berkata, beliau sedang berbincang dengan beberapa pihak mengenai pembelian TikTok dan dijangka membuat keputusan mengenai masa depan aplikasi itu pada Februari. TikTok kini mempunyai sekitar 170 juta pengguna di AS.
“Kami akan melakukan sesuatu, mungkin dengan TikTok, mungkin tidak,” kata Trump.
“Jika kami mendapat perjanjian yang baik, kami akan lakukannya. Jika tidak, kami tidak akan buat... mungkin kita akan masukkan ia ke dalam dana kekayaan berdaulat.” - Agensi
#Donald Trump #Dana Kekayaan Berdaulat #beli TikTok #Amerika Syarikat
;