Trump arah serangan ketenteraan ke atas pangkalan udara Assad di Syria
The Washington Post
April 7, 2017 10:44 MYT
April 7, 2017 10:44 MYT
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah mengarahkan satu serangan ketenteraan disasarkan ke arah sebuah pangkalan udara di Syria.
Serangan beberapa peluru berpandu ke atas pangkalan udara di bawah kawalan tentera pemimpin Bashar Al-Assad itu disifatkan sebagai tindak balas terhadap penggunaan senjata kimia oleh Assad ke atas para penentangnya Selasa lalu.
50 peluru berpandu Tomahawk dilancarkan dari kapal perang tentera laut Amerika Syarikat di Laut Mediterannean ke atas beberapa sasaran termasuklah landasan penerbangan, pesawat, dan stesen minyak yang berada di pangkalan udara tersebut.
Trump mengarahkan serangan tersebut sehari selepas beliau mengkritik serangan senjata kimia Assad di bandar Khan Sheikoun di Syria yang mengorbankan sekurang-kurangnya 70 nyawa, kebanyakannya kanak-kanak.
Sejak menduduki kerusi Presiden pada Januari, perkembangan ini disifatkan sebagai krisis polisi luar terbesar yang dihadapi oleh Trump.
Serangan tersebut merupakan tindakan Amerika paling tegas ke atas perang saudara yang telah berlangsung selama enam tahun.
Keputusan Trump turut dilihat meningkatkan risiko pertelagahan dengan Rusia dan Iran, dua negara yang memberi bantuan ketenteraan kepada Assad.