Trump arah Amerika Syarikat tarik diri dari WHO sekali lagi

Agensi
Januari 21, 2025 10:00 MYT
Presiden Donald Trump mengeluarkan arahan agar Amerika Syarikat menarik diri daripada menganggotai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk kali kedua, menurut pengumuman yang dikeluarkan oleh White House pada Isnin. - Gambar fail Reuters
NEW YORK: Presiden Donald Trump mengeluarkan arahan agar Amerika Syarikat (AS) menarik diri daripada menganggotai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk kali kedua, menurut pengumuman yang dikeluarkan oleh White House pada Isnin.
Perintah eksekutif ini, yang dibuat pada hari pertama penggal kedua Trump, memenuhi janjinya untuk menolak institusi global.
Bagaimanapun, keputusan terbaharu itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pakar kerana akan memberikan kesan buruk terhadap tindak balas pandemik, penyakit dan hubungan diplomatik di seluruh dunia.
AS, yang secara sejarah merupakan penyumbang terbesar kepada agensi kesihatan global yang berpusat di Geneva, Switzerland, memainkan peranan penting dalam organisasi itu sejak penubuhannya selepas Perang Dunia II.
WHO, sebahagian daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, diberi tanggungjawab mempersiapkan dan menangani kecemasan kesihatan.
Trump mengkritik WHO atas pengendalian pandemik COVID-19, walaupun pentadbirannya turut dikecam kerana bertindak lambat menghadapi krisis tersebut.
Pada 2020, di kemuncak pandemik, Trump memulakan proses untuk meninggalkan WHO tetapi tidak sempat menyelesaikan proses itu akibat undang-undang AS berkaitan tempoh penarikan diri dan kewajipan pembiayaan.
Presiden Joe Biden membatalkan keputusan Trump sebaik memegang jawatan dan mengembalikan dana kepada WHO.
Namun, melalui perintah eksekutif ini, yang dilaksanakan pada awal penggal kedua Trump, beliau kini dapat melaksanakan keputusannya sepenuhnya.
Dalam perintah tersebut, AS menyatakan pengundurannya adalah disebabkan “cara WHO menguruskan pandemik COVID-19 yang bermula di Wuhan, China, serta krisis kesihatan global lain, kegagalan organisasi melaksanakan pembaharuan penting dan ketidakmampuannya menunjukkan kebebasan daripada pengaruh politik tidak wajar oleh negara anggota WHO.”
Perintah itu juga memetik pembayaran yang dianggap “terlalu membebankan” oleh AS untuk menyokong organisasi tersebut.
Pada era pentadbiran Biden, AS terus menjadi penyumbang terbesar kepada agensi itu, yang memiliki belanjawan AS$6.8 bilion pada tahun fiskal semasa.
Hampir satu perlima daripada belanjawan WHO pada 2023 dibiayai oleh Amerika.
Sejak menjadi anggota WHO pada tahun 1948, tahun penubuhan organisasi tersebut, ASmemainkan peranan utama dalam badan kesihatan dunia yang dianggotai 194 negara itu.
Pengunduran ini akan menjadikan Amerika Syarikat satu-satunya kuasa besar yang bukan anggota badan tersebut. - Agensi
#Donald Trump #Amerika Syarikat #WHO #Pertubuhan Kesihatan Sedunia
;