Trump ancam kenakan tarif 100 peratus terhadap negara BRICS jika dolar digantikan
Bernama
Disember 1, 2024 19:42 MYT
Disember 1, 2024 19:42 MYT
ISTANBUL: Presiden Terpilih Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Sabtu mengeluarkan amaran yang beliau akan mengenakan tarif 100 peratus terhadap mana-mana negara BRICS yang cuba menggantikan penggunaan dolar AS dalam perdagangan antarabangsa, lapor AA.
Merujuk kepada pakatan ekonomi yang terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan -- kini diperluaskan dengan merangkumi Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu.
"Pandangan yang negara-negara BRICS cuba beralih daripada penggunaan dolar sementara kita hanya berdiam diri sudah tamat," kata Trump menerusi catatan Truth Social mengenai blok yang terdiri daripada Rusia, India, China, dan Afrika Selatan, yang kini telah diperluaskan untuk merangkumi Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu.
Trump menuntut negara-negara berkenaan untuk komited menggunakan dolar sebagai mata wang rizab mereka dan mengelak daripada mencipta mata wang BRICS baharu atau menyokong alternatif lain.
"Kami memerlukan komitmen daripada negara-negara ini yang mereka tidak akan mencipta mata wang BRICS baharu atau menyokong mana-mana mata wang lain untuk menggantikan Dolar AS, jika tidak, mereka akan menghadapi tarif 100 peratus dan harus bersedia mengucapkan selamat tinggal untuk menjual barangan mereka dalam ekonomi AS yang menarik," katanya.
Beberapa tahun kebelakangan ini, negara-negara BRICS mengadakan perbincangan untuk beralih daripada penggunaan dolar dan perbincangan semakin memuncak selepas AS mengenakan sekatan terhadap Rusia pada 2022 susulan "operasi ketenteraan khas"nya di Ukraine.
"Tiada peluang bagi BRICS untuk menggantikan Dolar AS dalam perdagangan antarabangsa dan mana-mana negara yang cuba berbuat demikian harus mengucapkan selamat tinggal kepada Amerika," katanya.
Ancaman terbaharu ini dibuat susulan beberapa cadangan Trump, termasuk tarif 25 peratus ke atas Mexico dan Kanada serta tambahan 10 peratus tarif ke atas China untuk menangani isu migrasi haram dan penyeludupan dadah ke AS.
Jurucakap bagi pasukan peralihan Trump tidak memberi respons segera terhadap permintaan untuk penjelasan mengenai butiran tarif untuk negara-negara BRICS atau China.
--BERNAMA-AA