Trump ancam kenakan cukai atas kereta Eropah
Agensi
Mac 3, 2018 06:54 MYT
Mac 3, 2018 06:54 MYT
Amerika Syarikat (AS) akan mengenakan cukai ke atas kereta buatan Eropah sekiranya Kesatuan Eropah (EU) tetap berhasrat meningkatkan lagi tarif dan peraturan ke atas syarikat AS di negara rantau itu.
Sebelum ini, EU berkata pihaknya akan bertindak balas terhadap eksport dari Amerika sekiranya Presiden Donald Trump meneruskan rancangannya mengenakan cukai import ke atas produk keluli dan aluminium.
"Sekiranya EU mahu meningkatkan lagi tarif dan halangan yang sedia ada banyak terhadap syarikat-syarikat AS yang menjalankan perniagaan di sana, kami akan mengenakan cukai ke atas kereta mereka yang ketika ini bebas masuk ke negara ini.
"Tindakan mereka ini membuatkan kereta kita (dan banyak lagi,) susah untuk dijual di sana. Ketidakseimbangan perdagangan yang besar!" katanya di laman Twitter miliknya.
Trump pada Khamis mengumumkan langkah mengenakan cukai import produk keluli dan aluminium di bawah Seksyen 232 Peraturan Perdagangan AS atas alasan demi kepentingan keselamatan negara.
Keputusan beliau dianggap mengejutkan kerana lazimnya Presiden membuat penilaian terperinci sebelum memutuskan sebarang tindakan yang boleh mengundang kecaman rakan dagang serta menjejaskan hubungan dengan negara sekutu.
Walaupun maklumat terperinci keputusan Trump itu belum diperolehi setakat ini, kalangan pakar mempertikaikan bagaimana kesan tindakan itu, terutama kalangan sekutu AS seperti Kanada dan Mexico yang juga anggota Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA).
Trump juga menambah di Twitter-nya, defisit perdagangan tahunan AS sangat besar gara-gara perjanjian yang telah dibuat pentadbiran Rumah Putih sebelum ini.
"AS mempunyai defisit perdagangan AS$800 bilion setiap tahun kerana perjanjian dan dasar perdagangan kita yang 'sangat bodoh'.
"Peluang pekerjaan dan kekayaan kita diberikan kepada negara-negara lain yang telah mengambil kesempatan ke atas kita selama bertahun-tahun.
"Ia tidak akan berlaku lagi selepas ini," tambahnya.
#aluminium
#Amerika Syarikat
#AS
#cukai
#cukai import
#Donald Trump
#eksport
#EU
#keluli
#kereta
#Kesatuan Eropah
#tarif