WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Jumaat berkata beliau akan mengumumkan tarif "timbal balik" selanjutnya minggu depan, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Ketika ditanya mengenai tarif terhadap produk dari Jepun semasa bertemu Perdana Menteri Shigeru Ishiba di White House, Trump memberikan jawapan dalam konteks lebih luas dengan merujuk kepada "perdagangan timbal balik, supaya kita dilayan secara adil dengan negara lain. Kita tidak mahu lebih atau kurang."

Trump berkata pengumuman akan dibuat pada Isnin atau Selasa.

"Saya fikir itu cara paling adil untuk melakukannya, dengan cara itu tiada pihak yang terjejas," katanya. "Mereka kenakan caj kepada kita, kita kenakan caj kepada mereka. Ia perkara yang sama, dan saya nampaknya lebih cenderung ke arah itu berbanding tarif kadar rata."

Trump berkata isu tarif tidak banyak dibincangkan dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri Jepun. Tidak jelas pihak mana yang akan menjadi sasaran langkah baharu itu, namun beliau sebelum ini memberi bayangan akan mengenakan tarif terhadap barangan yang diimport daripada Kesatuan Eropah.

Tarif AS sebanyak 10 peratus terhadap barangan China mula berkuat kuasa pada Selasa, manakala tarif 25 peratus yang dirancang ke atas Mexico dan Kanada digantung untuk tempoh awal 30 hari selepas kedua-dua negara itu berjanji meningkatkan langkah keselamatan sempadan.

Trump memenangi Pilihan Raya Presiden pada November lepas dengan janji untuk mengenakan tarif tinggi ke atas barangan asing bagi mengurangkan defisit perdagangan AS. Beliau sebelum ini melaksanakan beberapa tarif sepanjang penggal pertamanya dari 2017 hingga 2021.

-- BERNAMA