Trump akan tandatangan perintah eksekutif tutup Jabatan Pendidikan - White House
Agensi
Mac 20, 2025 09:15 MYT
Mac 20, 2025 09:15 MYT
Presiden Trump akan menandatangani satu perintah eksekutif yang telah lama dinantikan pada Khamis (hari ini) bagi menutup Jabatan Pendidikan, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh White House pada Rabu. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan menandatangani satu perintah eksekutif yang telah lama dinantikan pada Khamis (hari ini) bagi menutup Jabatan Pendidikan, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh White House pada Rabu.
Penutupan ini bertujuan menunaikan salah satu janji utama kempen beliau.
Tindakan ini telah pun dicabar oleh sekumpulan peguam negara dari parti Demokrat, yang minggu lalu memfailkan saman bagi menghalang pentadbiran Trump daripada membubarkan jabatan tersebut dan menghentikan pemecatan hampir separuh kakitangannya.
Perintah eksekutif tersebut mengarahkan Setiausaha Pendidikan, Linda McMahon, untuk “mengambil semua langkah yang perlu bagi memudahkan penutupan Jabatan Pendidikan dan mengembalikan kuasa pendidikan kepada negeri-negeri, sambil memastikan penyampaian perkhidmatan, program dan manfaat kepada rakyat Amerika terus berjalan dengan berkesan dan tanpa gangguan.”
Ia juga menetapkan mana-mana program atau aktiviti yang masih menerima dana daripada Jabatan Pendidikan tidak boleh “mempromosikan DEI (Diversity, Equity, Inclusion) atau ideologi jantina,” menurut satu dokumen rasmi dari White House.
Perintah ini pertama kali dilaporkan pada awal Mac.
Jabatan Pendidikan "satu penipuan besar"
Trump berulang kali menyeru agar jabatan ini dihapuskan, dengan menyifatkannya sebagai “satu penipuan besar”.
Beliau pernah mencadangkan penutupannya semasa penggal pertamanya sebagai Presiden, tetapi Kongres tidak mengambil sebarang tindakan ketika itu.
Parti Republikan telah lama berusaha mengurangkan dana serta pengaruh Jabatan Pendidikan.
McMahon, pengasas bersama dan bekas CEO WWE, yang baru sahaja disahkan jawatannya oleh Senat pada Isnin, mempertahankan rancangan Trump untuk membubarkan jabatan itu.
Namun, beliau berjanji bahawa dana pendidikan persekutuan yang diperuntukkan oleh Kongres untuk membantu daerah sekolah berpendapatan rendah serta pelajar kurang berkemampuan akan diteruskan.
Sumber yang mengetahui tentang perintah itu berkata, pinjaman pelajar dan perkhidmatan untuk kanak-kanak kurang upaya telah dikodifikasikan dalam undang-undang dan akan tetap berjalan seperti biasa.
Bulan lalu, Trump menegaskan, beliau mahu jabatan itu ditutup serta-merta, tetapi mengakui bahawa beliau memerlukan persetujuan daripada Kongres, yang menentukan dana jabatan tersebut, serta kesatuan guru.
Penyokong jabatan ini menegaskan bahawa ia penting untuk mengekalkan standard pendidikan awam yang tinggi dan menuduh Republikan cuba mempromosikan pendidikan berasaskan keuntungan.
Penutupan segera jabatan ini boleh mengganggu puluhan bilion dolar dalam bantuan pendidikan termasuk bantuan kewangan kepada sekolah rendah dan menengah serta bantuan yuran universiti.
Trump dan penasihat jutawannya, Elon Musk, sebelum ini telah cuba membubarkan beberapa agensi kerajaan tanpa kelulusan Kongres, termasuk USAID (Agensi Pembangunan Antarabangsa AS).
Namun, menutup Jabatan Pendidikan akan menjadi kali pertama Trump membubarkan sebuah agensi peringkat Kabinet.
Jabatan ini mengawasi kira-kira 100,000 sekolah awam dan 34,000 sekolah swasta di seluruh Amerika Syarikat.
Walaupun lebih 85 peratus pembiayaan sekolah awam datang dari kerajaan negeri dan tempatan, Jabatan Pendidikan masih memainkan peranan penting dalam menyalurkan geran Persekutuan kepada sekolah yang memerlukan, membiayai program khas untuk pelajar berkeperluan khas, menyokong program seni dan pembaikan infrastruktur sekolah yang usang.
Selama ini juga, Jabatan Pendidikan AS turut menguruskan pinjaman pelajar berjumlah AS$1.6 trilion, yang dimiliki oleh berjuta-juta rakyat Amerika yang tidak mampu membayar yuran universiti secara langsung. - Reuters