Trump akan perkukuh hubungan dengan sekutu di Asia Barat, tekan Hamas - Pakar

Irfan Faruqi
November 7, 2024 07:30 MYT
Program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis membincangkan kemenangan Trump sebagai Presiden AS, menampilkan dari kiri, Ketua Pegawai Operasi IRIS Institute Asyraf Farique, Ketua Pusat Pengajian Asia Barat IKMAS UKM Dr Abdul Rahim Ahmad dan Abu Hanifah.
KUALA LUMPUR: Presiden Terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijangka memulakan pentadbirannya dengan memperkukuh hubungan dengan sekutunya di Asia Barat.

Ringkasan AI
  • Trump dijangka memperkukuh hubungan dengan sekutu-sekutu Amerika Syarikat di Asia Barat seperti UAE dan Bahrain.
  • Trump akan terus memberikan tekanan kepada Hamas sebagai sebahagian daripada dasar luar Asia Baratnya, dengan tujuan memastikan Hamas tidak menyerang Israel.
  • Tekanan ke atas Iran juga dijangka ditingkatkan sebagai tindak balas terhadap serangan langsung Iran ke atas Israel dan melalui proksi di Lubnan.

Demikian pandangan disuarakan Ketua Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Prof Madya Abu Hanifah Haris mengulas kemenangan Trump yang bakal kembali sebagai Presiden AS ke-47.
Tambahnya, bekas Presiden AS ke-45 itu juga dijangka terus memberikan tekanan kepada Hamas sebagai sebahagian dasar luar Asia Baratnya.
“Saya jangkakan beliau akan terus mengukuhkan hubungan ini. Bahkan akan meneruskan dasar hubungan yang lebih rapat dengan negara-negara Arab lain yang merupakan sekutu kuat kepada Amerika iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan sebagainya.
“Bahkan, kalau kita lihat kepada kenyataan Trump dalam kempen beliau, iaitu sekiranya beliau memegang jawatan presiden, maka perkara yang akan berlaku ialah, jaminan Hamas tidak akan serang Israel. Kita jangkakan Trump akan teruskan dasar menekan Hamas dengan sekuat-kuatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Trump akan perkukuh hubungan dengan sekutu di Timur Tengah, tekan Hamas - Pakar
Selain tekanan kepada Hamas, Abu Hanifah juga berpendapat bahawa tekanan ke atas Iran juga akan ditingkatkan di bawah pentadbiran Trump.
Jelasnya, ia sebagai tindak balas terhadap serangan yang dilancarkan oleh Iran secara terus ke atas Israel dan asakan oleh Iran melalui proksinya di Lubnan.
Trump menewaskan pencabarnya Kamala Harris dalam Pilihan Raya Presiden 2024 dan dijangka memulakan pentadbiran penggal keduanya pada Januari 2025 selepas mengangkat sumpah jawatan.
Dialog Tiga Penjuru: Trump 2.0, Apa Nasib Gaza?
#Amerika Syarikat #Donald Trump #Israel #Hamas
;