Trump akan batalkan hampir 80 tindakan eksekutif pentadbiran Biden

Bernama
Januari 21, 2025 10:30 MYT
Presiden Donald Trump (kanan) berjalanan beriringan dengan Joe Biden semasa menghadiri majlis angkat sumpah Presiden Amerika Syarikat ke-47, di Washington, pada Isnin. - Gambar AP
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Isnin mengumumkan rancangan untuk membatalkan hampir 80 tindakan eksekutif pentadbiran Biden sebelum ini, lapor Agensi Anadolu.
"Saya akan membatalkan hampir 80 tindakan eksekutif yang merosakkan dan radikal oleh pentadbiran sebelum ini, antara pentadbiran paling teruk dalam sejarah," kata Trump kepada penyokongnya di Capital One Arena, Washington, D.C.
Trump, yang mengangkat sumpah untuk penggal kedua menjanjikan perubahan besar dalam kerajaan AS yang dijangka memberi impak besar kepada masyarakat Amerika dan dunia.
Beliau juga mengumumkan rancangan untuk menandatangani pengampunan terhadap defendan yang didakwa dalam serangan ke atas Capitol AS pada 6 Jan 2021.
"Malam ini, saya akan menandatangani pengampunan untuk 'tebusan J-6' agar mereka dibebaskan. Sebaik sahaja saya tinggalkan acara ini, saya akan ke Pejabat Oval untuk menandatangani pengampunan bagi ramai orang," katanya. - BERNAMA
#Donald Trump #tindakan eksekutif #Joe Biden #Presiden AS ke-47
;