'Tropical Depression' dijangka bertambah kuat, ancam Taiwan - CWA

Bernama
September 27, 2024 21:56 MYT
Memandangkan keadaan persekitaran yang kondusif untuk perkembangannya, TD22 diramal mencapai sekurang-kurangnya tahap taufan. - AP
TAIPEI: Tropical Depression TD22, yang kini berada di perairan selatan Kepulauan Ryukyu, dijangka bertukar menjadi ribut tropika menjelang pagi Sabtu dan bakal menjadi ancaman besar kepada Taiwan minggu depan, lapor Agensi Berita Pusat (CNA) memetik ramalan Pentadbiran Kaji Cuaca Pusat (CWA) pada Jumaat.
TD22 yang dijangka berputar mengikut arah jam ketika ia bergerak ke arah selatan, berkemungkinan bertambah kuat menjadi ribut tropika yang dinamakan Krathon sebelum beralih ke utara menuju perairan di pantai timur Taiwan, kata peramal cuaca CWA, Hsu Chung-yi.
Memandangkan keadaan persekitaran yang kondusif untuk perkembangannya, Hsu meramalkan bahawa TD22 akan mencapai sekurang-kurangnya tahap taufan.
Setakat pukul 2 petang Jumaat, TD22 dikesan kira-kira 610 kilometer di timur-tenggara titik paling selatan Taiwan, Tanjung Eluanbi, bergerak ke arah selatan-barat daya pada kelajuan 14 km sejam.
TD22 membawa angin kencang berkelajuan maksimum 54 km sejam dan tiupan angin sehingga 82.8 km sejam, menurut data CWA.
Angin dan hujan yang dikaitkan dengan pinggir luar TD22 itu dijangka semakin kuat hujung minggu ini, dengan sistem itu berpotensi berada paling dekat dengan Taiwan antara Selasa dan Rabu ini, kata Hsu.
Menjelang tempoh itu, TD22 mungkin membawa hujan lebat ke bahagian utara, tengah dan timur pulau itu, sementara amaran laut atau amaran darat juga berkemungkinan dikeluarkan, katanya.
Sebagai langkah berjaga-jaga, Agensi Pemuliharaan Hutan dan Alam Semula Jadi mengumumkan bahawa taman hutan di utara dan timur Taiwan mungkin akan ditutup pada Ahad.
Sementara itu, TD21 telah bertukar menjadi Ribut Tropika Jebi pada petang Jumaat, tetapi kerana ia dijangka bergerak ke utara menuju Jepun, ia tidak dijangka menjejaskan Taiwan, menurut CWA.
Setakat pukul 2 petang Jumaat, Jebi membawa angin berkelajuan maksimum 64.8 km sejam dan tiupan angin sehingga 90 km sejam, kata peramal cuaca.
-- BERNAMA
#tropical depression #taufan #Taiwan #angin kencang #ribut #bencana alam
;