Trio yang berpangkalan di AS menang Hadiah Nobel Ekonomi, kajian ketidaksamaan global
Bernama
Oktober 14, 2024 20:58 MYT
Oktober 14, 2024 20:58 MYT
STOCKHOLM: Trio pakar berpangkalan di Amerika Syarikat memenangi Hadiah Nobel Ekonomi 2024 kerana pandangan mereka dalam membantu menerangkan ketidaksamaan global, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Daron Acemoglu dan Simon Johnson dari Institut Teknologi Massachusetts serta James A. Robinson yang berpangkalan di Chicago, dianugerahkan hadiah berkenaan "atas kajian tentang bagaimana institusi dibentuk dan mempengaruhi kemakmuran," menurut Akademi Sains Diraja Sweden pada Isnin.
Jakob Svensson, pengerusi jawatankuasa Hadiah Ekonomi, berkata para pakar ini membantu menerangkan mengapa "jurang antara kaya dan miskin begitu berterusan."
Mereka "telah merintis pendekatan baharu, baik dari segi empirikal mahupun teori, yang secara signifikan meningkatkan pemahaman kita mengenai ketidaksamaan global," tambahnya.
Hadiah tahun lepas diberikan kepada ahli ekonomi AS Claudia Goldin, atas penyelidikannya mengenai peranan wanita dalam pasaran buruh. Sebelum itu, hadiah ini telah beberapa kali dianugerahkan kepada dua atau tiga individu serentak.
Secara rasmi dikenali sebagai Hadiah Sains Ekonomi Sveriges Riksbank dalam Memori Alfred Nobel, hadiah ini bernilai 11 juta kronor (lebih AS$1 juta), sama seperti kategori Nobel lain dalam bidang perubatan, fizik, kimia, sastera dan keamanan yang diumumkan minggu lepas.
-- BERNAMA