Tren ditempah terlalu besar, pegawai kanan pengangkutan Sepanyol letak jawatan

Bernama
Februari 21, 2023 12:13 MYT
Kesilapan reka bentuk tren boleh melambatkan projek itu. - Gambar hiasan/Pixabay
OVIEDO (SEPANYOL): Dua pegawai kanan pengangkutan Sepanyol meletak jawatan pada Isnin selepas 31 tren komuter yang ditempah didapati terlalu besar dan tidak muat melalui terowong.
Kementerian Pengangkutan telah menerima peletakan jawatan setiausaha negara bagi pengangkutan, Isabel Pardo de Vera dan presiden syarikat kereta api negeri Renfe, Isaias Taboas, lapor Agensi Anadolu.
Tren yang ditempah pada 2020 itu sepatutnya digunakan bagi mengantikan tren di wilayah Asturias dan Cantabria dalam beberapa bulan akan datang. Bagaimanapun, kesilapan reka bentuk itu boleh melambatkan projek itu.
"Dalam tempoh 40 tahun kerjaya politik, saya tidak pernah melihat keadaan huru-hara seperti itu," kata Presiden Cantabria, Miguel Angel Revilla pada sidang akhbar.
Menteri pengangkutan Sepanyol memohon maaf atas kesilapan itu dan menyalahkan pentadbiran pusat sebelum ini yang gagal membekalkan tren baharu kepada dua wilayah itu sejak 2006.
Pemimpin wilayah berkenaan berkata akibat kesilapan itu penduduk Asturias dan Cantabria wajar diberikan perkhidmatan tren secara percuma sehingga tren baharu beroperasi.
-- BERNAMA
#tren komuter #terowong keretapi #sepanyol #letak jawatan
;