Transformasi Generasi: Visi Arab Saudi pacu pertumbuhan inklusif - Misk

Harits Asyraf Hasnan
Februari 28, 2023 10:40 MYT
Amani berkata menerusi tema Transformasi Generasi, pihaknya telah menyediakan platform dialog masa hadapan yang berfungsi sebagai pemangkin kepada penerokaan penyelesaian secara bersama berkait isu mendesak ketika ini. - Foto LinkedIn/Amani Alkhiami
KUALA LUMPUR: Pemerkasaan belia menjadi teras utama Yayasan Mohammed bin Salman (Misk) dalam usahanya menangani cabaran global ketika ini.
Pengurus Kanan Kajian Misk, Amani Alkhiami berkata menerusi tema Transformasi Generasi, pihaknya telah menyediakan platform dialog masa hadapan yang berfungsi sebagai pemangkin kepada penerokaan penyelesaian secara bersama berkait isu mendesak ketika ini.
Ia merangkumi pertumbuhan ekonomi inklusif termasuk isu perubahan iklim selaras dengan perspektif global di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Kerjasama yang terbaik adalah dengan menggabungkan pandangan antara generasi dan melihat pandangan golongan belia bersatu mencipta perubahan bermakna selain mengambil kira pelbagai perspektif.
"Kami bekerjasama dengan PBB semasa perhimpunan agung, Forum Ekonomi Dunia (WEF) dan pelbagai platform lain di mana kami menghimpunkan perspektif belia seiring usaha mencipta impak yang bermakna.
"Di yayasan ini, kami sangat memfokuskan pemerkasaan belia, mendengar pandangan mereka selain memenuhi keperluan mereka dengan terus meningkatkan kemahiran, keusahawanan dan pelbagai lagi," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI baru-baru ini.
Beliau berkata, Majlis Belia atau Youth Majlis - Misk merupakan langkah penting ke arah mencapai wawasan Kerajaan Arab Saudi untuk masa depan yang lebih makmur dan mampan.
Transformasi Generasi: Visi Arab Saudi pacu pertumbuhan inklusif - Misk
"Jadi kami telah menghimpunkan pelbagai generasi untuk saling bekerjasama dan mencipta perubahan terutama menerusi dialog.
"Sebagai tambahan kepada WEF pada Mei tahun lalu, kami telah melancarkan Indeks Belia Global.
"Indeks ini melibatkan 30 negara merangkumi 20 negara G20 dan 10 negara tambahan dengan kajian melibatkan 31,000 belia dari seluruh dunia untuk memahami sentimen dan persepsi mereka berkait bidang keutamaan belia.
"Melalui kajian ini, kami telah memahami jurang dan peluang selain penyelesaian yang dicadangkan sendiri oleh belia," katanya.
Sejak penubuhannya pada 2011, Misk telah membolehkan belia mewakili kerajaan dalam pelbagai forum dan program antarabangsa untuk menyelesaikan cabaran global yang kompleks dan mengambil bahagian secara aktif bersama warga global.
Lebih daripada 280 pelajar lulus daripada program Misk Fellowship di mana mereka telah menyiapkan lebih 40 projek yang didedikasi khas untuk menyelesaikan cabaran berkait Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
Yayasan ini juga telah melabur dalam memperkasakan belia Arab Saudi dalam pendidikan dan keusahawanan, budaya dan seni kreatif selain sains dan teknologi sebagai bidang keberhasilan utama.
Malah, yayasan ini juga meneruskan matlamatnya melalui reka bentuk program khusus selain bekerjasama dengan organisasi tempatan dan global merentasi bidang melalui pelbagai projek inkubator.
#Yayasan Mohammed bin Salman #MISK #Amani Alkhiami #Arab Saudi
;