Tragedi tembakan California: Insiden paling menyayat hati
Agensi
Disember 4, 2015 15:17 MYT
Disember 4, 2015 15:17 MYT
Kelihatan sanak saudara setia menanti di dalam gimnasium untuk memperingati pemergian orang yang mereka kasihi.
Setiap satu jam, sebuah bas berhenti di pusat komuniti dan kelihatan mereka yang terselamat dalam insiden tembakan di San Bernardino turun dari bas berkenaan sambil berpelukan.
Sehingga lewat malam, hanya tinggal lebih kurang 20 orang ahli keluarga daripada 100 yang hadir.
Mereka duduk di atas bangku di dalam gimnasium tertutup yang dijadikan sebagai pusat kawalan.
Pihak berkuasa mengeluarkan senarai nama mereka yang tercedera dan yang dihantar ke hospital.
Kemudian, seorang demi seorang waris yang tinggal dibawa ke bilik pusat komuniti itu bagi mendapatkan maklumat terkini.
"Mereka sangat penyayang. Mereka duduk dengan setiap seorang di dalam bulatan bersama paderi dan petugas sosial. Tapi saya tidak pernah tengok sesuatu yang sangat menyedihkan sebegini dalam hidup saya," kata Rev. Kathleen Dowel, yang meluangkan sepanjang harinya menanti ahli keluarganya.
Antara mereka yang maut adalah seorang wanita yang melarikan diri dari pelampau ekstremisme Islam di Iran, bapa anak enam, seorang pesara serta pengurus sebuah kedai kopi di mana kejadian tembak menembak berlaku - 14 jasad kesemuanya.
Selepas kakitangan perubatan daerah San Bernardino bekerja keras sepanjang malam untuk memberi pengesahan rasmi, wakil polis mendekati setiap ahli keluarga untuk memaklumkan apa sebenarnya apa yang berlaku.
"Kejadian tembakan ini telah menyebabkan setiap ahli keluarga, rakan-rakan, rakan kerja, serta kakitangan yang bertugas telah memberi kesan kepada diri mereka," kata wakil polis John McMahon.
Salah seorang yang maut adalah Benneta Betbadal, 46, yang dilahirkan di Iran pada 1969 namun ke Amerika Syarikat ketika berusia 18 tahun.
Dia memilih untuk ke AS semata-mata untuk melarikan diri daripada 'pelampau ekstremisme Islam dan penganiayaan terhadap Kristian yang mengikuti Revolusi Iran," menurut laman web GoFundMe, sebuah laman web yang direka oleh keluarga mangsa.
Betbadal, pemegang ijazah kimia dari Universiti Politeknik California bertugas sebagai pemeriksa di Jabatan Kesihatan Awam San Bernardino.
Pada Rabu, mangsa sangat teruja untuk memberi penerangan kepada rakan sekerja semasa mesyuarat tahunan mereka.
"Dia amat sukakan kerjanya, komuniti, dan negara. Kasih sayang agungnya pasti kepada suami, anak dan keluarga angkatnya," memetik laman web tersebut.
Seorang lagi yang maut adalah Nicholas Thalasinos, 52, jemaah Shiloh Messianic gereja Dowell. Jemaah gereja itu menyifatkan Thalasinos merupakan seorang yang berjiwa besar pada masa sama bersabar dengan nasibnya.
Dia telah berjaya menempuh tiga tahun yang amat mencabar dalam hidupnya, ketika dia memasuki jemaah Yahudi Messianic dalam pergerakan Kristian.
Dia telah menurunkan hampir 100 paun selepas bergelut ketika menghidap penyakit diabetis dan yang terbaru membuang sel kanser yang makin membesar.
Sekurang-kurangnya tiga penembak melepaskan tembakan di pusat golongan kurang upaya di California awal Rabu lalu, mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang dan menyebabkan siri tembak-menembak di jalanan ketika polis memburu suspek.
Insiden berdarah ini merupakan kejadian terkini dalam siri tembakan berterusan di Amerika Syarikat yang memberi tekanan kepada Presiden Barack Obama untuk terus mendesak Kongres agar meluluskan undang-undang kawalan senjata yang lebih ketat.