Tragedi subuh Mexico: Lima maut, rumah dirempuh gerabak kereta api

Agensi
Januari 19, 2018 12:29 MYT
Keadaan dua kediaman yang dirempuh gerabak kereta api membawa muatan jagung di Ecatepec, Mexico - Gambar REUTERS
SEDANG lena dibuai mimpi, penghuni dua rumah di Ecatepec, pinggir bandar Mexico dikejutkan rempuhan gerabak kereta api pengangkut.
Insiden sekitar jam enam pagi waktu tempatan itu mengorbankan sekurang-kurangnya lima nyawa.
Belum dapat disahkan sama ada kesemua mangsa terbunuh kerana dihempap dinding rumah atau dilanggar gerabak yang membawa muatan jagung itu.
Jumlah kematian belum lagi muktamad dan pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan beberapa lagi mangsa masih berada di bawah sisa runtuhan.
Kementerian Pengangkutan Mexico mengesahkan kereta api berkenaan milik syarikat Kansas City Southern de Mexico.
Sementara seksyen landasan kereta api itu dibawah kendalian syarikat the Ferrocarril y Terminal del Valle yang turut dikenali sebagai Ferrovalle.
Dalam kenyataannya Ferrovalle mengesahkan dua gerabak tergelincir dalam kejadian itu dengan satu daripadanya merempuh dua rumah.
Syarikat itu juga mengesahkan mangsa keenam yang cedera telah dibenarkan meninggalkan hospital.
Punca kejadian masih dalam siasatan.
#cedera #kereta api #mangsa #maut #Mexico #rempuh #tergelincir
;