Tragedi solat Jumaat: Suspek tidak jumpa pintu masuk Masjid Linwood - Saksi

Agensi
Mac 18, 2019 17:48 MYT
Masjid Linwood dipenuhi kira-kira 100 orang yang baru saja memulakan solat Jumaat, ketika suspek melepaskan tembakan dari luar. - Google Map
Lebih banyak individu berkemungkinan menjadi mangsa dalam tragedi tembakan rambang di Christchurch jika bukan kerana suspek tidak menemui pintu masuk utama.
Portal Stuff melaporkan saksi Mohammed Akheel Uddin baru selesai menjalankan tugas di kawasan letak kereta Masjid Linwood ketika ternampak suspek menghampiri masjid dari arah bertentangan dengan pintu masuk utama.
Gagal menemui pintu masuk, suspek melepaskan tembakan dari luar dan menerusi tingkap menyebabkan tujuh mangsa maut.
Dua lagi mangsa yang ditembak di Masjid Linwood meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
"Kalau dia masuk menerusi pintu utama, mungkin lebih ramai yang maut kerana dalam masjid itu ada lebih kurang 100 orang dan solat Jumaat baru sahaja bermula," kata Akheel.
Akheel, yang bersembunyi di ruang solat wanita, kemudiannya menghubungi polis untuk memaklumkan keadaan itu dan meminta mereka mengawasi masjid berdekatan.
"Rupanya saya terlambat, kerana masjid itu (Al Noor) sudah diserang terlebih dahulu dan lebih 40 maut," ceritanya.
Angka korban tragedi ini setakat ini ialah 50, manakala lebih 40 lagi cedera.
Suspek, Brenton Harrison Tarrant, 28, sudah ditahan dan didakwa atas tuduhan membunuh.
#Brenton Harrison Tarrant #Christchurch #mangsa #masjid #Masjid Al Noor #Masjid Linwood #suspek #tembakan
;