Tragedi solat Jumaat: Senarai penuh mangsa secepat mungkin

Asyraf Roslan
Mac 16, 2019 07:49 MYT
Seorang wanita yang menangisi kejadian serangan pengganas yang mengorbankan 50 mangsa setakat ini ditenteramkan rakannya, di Christchurch, New Zealand, 15 Mac, 2019. Foto Aiman Amerul Muner
Polis New Zealand masih berusaha mengenal pasti semua mayat mangsa serangan pengganas di dua masjid di Christchurch pada Jumaat, sebelum mengeluarkan senarai penuh mangsa yang terlibat.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Nur Izzah Wong Mee Choo berkata, proses itu mengambil sedikit masa namun pihak berkuasa akan cuba mengeluarkannya secepat mungkin.
"Ia akan mengambil masa dan tiada jangka masa ditetapkan bila pihak polis akan mengeluarkan senarai ini. Namun, mereka akan cuba keluarkan secepat mungkin," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.
Pada masa sama, sehingga kini, masih tiada lagi perkhabaran terbaru mengenai seorang lagi rakyat Malaysia yang masih tidak dapat dikesan, dikenali sebagai Haziq, anak kepada salah seorang mangsa yang cedera.
Menurut Wong, pihak polis sedang dalam proses untuk menghubungi keluarga mangsa yang sudah disenaraikan sebagai 'missing person' (orang hilang) itu, bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.
Terdahulu hari ini, Pesuruhjaya Polis New Zealand, Mike Bush pada satu sidang media di Wellington berkata, angka kematian tragedi solat Jumaat itu kini meningkat kepada 50.
Katanya, seorang lagi mangsa ditemui di dalam salah satu masjid berkenaan susulan pemeriksaan lanjut yang dijalankan di lokasi kejadian.
50 lagi mangsa disahkan turut tercedera dalam tragedi tersebut dan 36 masih dirawat di Hospital Christchurch, dua daripada mereka dalam keadaan kritikal.
#Astro Awani #Christchurch #hilang #Islam #Malaysia #mangsa #mayat #New Zealand #Nur Izzah Wong Mee Choo #pengganas #rakyat Malaysia #serangan #Tragedi Solat Jumaat
;