Tragedi solat Jumaat: Penembak tulis manifesto sebelum serang masjid

Nailah Huda
Mac 15, 2019 15:20 MYT
Gambar wajah suspek Brenton Tarrant, warga Australia, yang merakam serangan di masjid itu melalui kamera badan yang disiarkan secara langsung ke Facebook. Foto - AP.
SATU manifesto berlatar belakangkan perasaan anti-pendatang berjudul ‘The Great Replacement’ sepanjang 73 muka surat dikongsi secara berleluasa di media sosial selepas ia dikaitkan dengan penembakan di Masjid Al Noor, Christchurch, New Zealand pada Jumaat.
“Krisis penghijrahan warga luar ke dalam negara secara besar-besaran merupakan serangan terhadap orang-orang Eropah yang, jika tidak dihentikan, akhirnya akan menyebabkan bangsa Eropah diganti dan hilang sepenuhnya," antara nota yang terkandung dalam manifesto berkenaan.
Manifesto itu yang ditulis oleh Brenton Tarrant, warga Australia yang sudah dikenali sebagai salah seorang penembak di masjid berkenaan, menceritakan kebimbangan mengenai kehilangan kaum dan bangsa Eropah akibat daripada penghijrahan warga luar ke New Zealand.
“Ia semua berlaku melalui penghijrahan. Ini penggantian etnik. Ini penggantian bangsa. Ini penggantian kaum,” tegas Brenton.
Penduduk di New Zealand merangkumi lebih 200 kumpulan etnik.
Namun, jika melihat kepada statistik penghijrahan ke New Zealand, angka berkenaan telah menurun pada tahun 2018 dan 2017 berbanding 2016.
Berdasarkan statistik rasmi yang dikeluarkan oleh StatsNZ, pendatang luar negara menurun daripada 58,400 ke 56,230 pada hujung Disember 2018.
Bagaimanapun, perasaan anti-pendatang itu kian meningkat bukan sahaja bagi individu-individu seperti Brenton, namun juga boleh dilihat dalam undang-undang bawah kerajaan Parti Nasional.
Pada tahun 2017, kerajaan New Zealand memperkenalkan beberapa sekatan terhadap kemasukan pendatang luar antaranya menaikkan gaji minimum untuk mendapatkan visa serta menyukarkan peluang untuk lulus peperiksaan Bahasa Inggeris.
Serangan ngeri pada skala ini belum pernah dialami oleh penduduk New Zealand, selain insiden tembakan pada tahun 1990 apabila seorang lelaki menembak mati 13 orang, termasuk dua kanak-kanak berusia 6 tahun.
Berikutan itu, undang-undang senjata diketatkan sekali gus menjadikan kes pembunuhan menurun terutamanya kes melibatkan senjata.
Akhbar NYTimes melaporkan, terdapat hanya 35 kes bunuh yang berlaku pada tahun 2017.
Sejak 2007, kes bunuh menggunakan senjata kekal bawah 10 kes, selain pada tahun 2009 yang merekodkan 11 kes.
Walau bagaimanapun, tahun 2017 merekodkan pemilikan senjata sebanyak 1.2 juta di seluruh negara itu, menurut laporan Small Arms Survey.
Brenton telah dinamakan sebagai salah seorang suspek yang bertanggungjawab untuk sekurang-kurangnya 40 nyawa terkorban dalam tembakan rambang yang berlaku di dua buah masjid di Christchurch sewaktu solat Jumaat hari ini.
Serangan itu, yang menurut polis telah dilakukan oleh empat orang suspek, turut dirakam oleh Brenton dalam video yang disiarkan secara langsung kepada Facebook melalui kamera badan dan boleh digambarkan seolah-olah menyerupai gaya permainan menembak PUBG.
Buat masa ini, polis telah menangkap tiga suspek dan masih mencari seorang lagi suspek yang melarikan diri.
#anti-Muslim #anti-pendatang #Christchurch #Manifesto #nationalisme #New Zealand #serangan #tembak #tembakan rambang #tembakan rambang solat Jumaat #Tragedi Solat Jumaat
;