Tragedi solat Jumaat: 'Mayat terkujur depan mata saya,' kata warga Malaysia terselamat

Agensi
Mac 15, 2019 16:42 MYT
Individu yang dikenali Noor Hamzah berkata insiden itu seolah-olah berlaku selama 20 minit. - Foto pegun layar nzherald.com
Seorang individu yang terselamat dalam insiden tembak menembak di Masjid Al Noor di daerah Deans Ave, Christchurch sewaktu solat Jumaat menceritakan bagaimana beliau menyelamatkan dirinya.
Mangsa Noor Hamzah, 54 tahun yang merupakan seorang warga Malaysia berkata sewaktu kejadian berlaku beliau dan beberapa individu lain bertempiaran lari keluar dari masjid.
Memetik laporan NZ Herald Tribune, selepas berjaya keluar dari masjid, Hamzah dan beberapa individu lain terpaksa menyorok di belakang beberapa buah kereta di Deans Ave.
Noor Hamzah berkata, insiden berkenaan seolah-olah berlaku selama 20 minit, katanya yang turut mencatat pengalaman ngeri yang mungkin tidak akan dilupakan seumur hidup di laman Facebook peribadinya.
Menurutnya, dia dapat melihat mayat bergelimpangan di pintu masjid berkenaan.
Hamzah berhijrah ke New Zealand pada awal tahun 80-an untuk melanjutkan pelajaran sebelum membuat keputusan untuk menetap di sana pada tahun 1998.
Beliau turut mengakui amat terkejut dengan pembunuhan beramai-ramai yang melibatkan jemaah masjid di situ.
“Ini adalah bencana buat New Zealand, hari ‘hitam’ buat negara ini,” kata Hamzah, yang sewaktu ditemui jelas kelihatan darah terpalit di pakaiannya selepas beliau membantu mangsa-mangsa yang tecedera dalam tragedy itu.
“Saya tidak dapat membayangkan ini boleh terjadi. Tidak dapat saya bayangkan sama sekali,” katanya.
“Saya masih terkejut, harap saya kuat untuk menghadapinya,” tambah Hamzah.
#Australia #Brenton Tarrant #Christchurch #Deans Avenue #Masjid Al Noor #Masjid Linwood #Noor Hamzah #NZ Herald Tribune #pengganas #serangan pengganas #tembakan rambang #tembakan rambang Christchurch #tembakan rambang solat Jumaat #warga Malaysia
;