Tragedi solat Jumaat: 'Lelaki itu rebah di sebelah kereta saya' - Saksi tembakan Christchurch

Afiq Ariffin
Mac 15, 2019 16:45 MYT
Polis sedang mengawal keadaan di lokasi kejadian. -Foto AP
Seorang saksi insiden tembakan rambang masjid di Christchurch menggambarkan kejadian sebagai "saat mengerikan" apabila dia menyaksikan sendiri orang awam ditembak sewaktu dia sedang memandu.
Jill Keats, 66, yang memandu dari Deans Avenue ke Riccarton Mall memberitahu dia melihat beberapa orang awam berlari bertempiaran serta mendengar bunyi letupan.
“Secara tiba-tiba keadaan di situ bertukar ganas, dan saya pasti itu bukan bunyi mercun.
“Saya nampak beberapa orang awam di situ mula rebah akibat ditembak dan seorang daripadanya rebah di sebelah kiri kereta saya," katanya.
BACA: Apa yang kita tahu setakat ini mengenai tragedi solat Jumaat Christchurch
Takut dengan keadaan itu, Keats memberhentikan kereta lalu menurunkan kerusi keretanya dan bersandar untuk mengelak daripada terkena tembakan.
Beberapa minit kemudian, Keats membuka pintu kenderaannya dan keluar daripada kereta.
Dia mendapati seorang lelaki terbaring berdekatan keretanya kerana ditembak di bahagian belakang badan.
Apabila dia ingin menolong mangsa tersebut, seorang lelaki Muslim yang berada di situ turut membantunya.
BACA: Tragedi solat Jumaat: Jangan tular video insiden berdarah Christchurch! - Polis NZ
“Seorang lelaki Muslim datang membantu saya menekan luka mangsa bagi mengelakkan darah daripada terus keluar. Saya menggigil ketika itu.
“Pada masa sama, lelaki yang cedera itu cuba menelefon isterinya. Saya membantu lelaki itu menjawab telefon dan memberitahu yang suaminya telah ditembak di luar masjid serta meminta dia segera ke hospital," ujar Keats.
Tidak lama selepas itu, dia mendapati mangsa yang cedera itu meninggal dunia.
BACA: Tragedi solat Jumaat: Seorang warga Malaysia cedera, terima rawatan di Hospital Christchurch
Sepanjang hidupnya, Keats tidak pernah memberi bantuan perubatan kepada orang awam, apatah lagi mengalami situasi seperti itu.
“Saya bukan hero, saya cuma buat apa yang perlu saya lakukan. Saya harap saya mampu lebih membantu.
"Saya berusia 66 tahun, tidak pernah terfikir dalam hidup saya akan melihat sesuatu seperti ini. Tidak di New Zealand,” kata Keats.
BACA: Tragedi solat Jumaat: Salah seorang pengganas di Christchurch disahkan warganegara Australia
#cedera #Christchurch #Hospital #letupan #mangsa #masjid #meninggal dunia #New Zealand #saksi #tembakan rambang
;