Tragedi solat Jumaat Christchurch: Suspek utama didakwa membunuh

Astro Awani
Mac 16, 2019 08:59 MYT
Brenton Tarrant didakwa di Mahkamah Daerah Christchurch, 16 Mac, 2019, susulan kejadian serangan solat Jumaat di dua masjid di Christchurch pada Jumaat. REUTERS
Brenton Tarrant, 28 tahun, didakwa di mahkamah pada Sabtu, susulan kejadian serangan di dua masjid di Christchurch ketika waktu solat Jumaat semalam.
Tarrant, yang menurut media tempatan boleh dinamakan tetapi tidak boleh ditunjukkan mukanya, telah ditahan reman tanpa membuat sebarang pengakuan, sehingga 5 April.
Dalam kemunculan singkatnya di mahkamah, suspek hadir memakai 'boilersuit' berwarna putih, diiringi dua pegawai polis dan dalam keadaan bergari.
Dia dilihat hanya mendiamkan diri dan berulang kali memandang sekeliling kamar mahkamah, di mana wakil media turut hadir.
Suspek didakwa atas satu pertuduhan membunuh. Mangsanya tidak boleh dinamakan.
Bagaimanapun, menurut laporan media tempatan, dia dijangka akan berdepan lebih banyak lagi pertuduhan selepas ini.
Kamar mahkamah itu juga ditutup kepada umum.
#Brenton Tarrant #Christchurch #dakwa #mahkamah #masjid #polis #reman #serangan #serangan pengganas #suspek #Tragedi Solat Jumaat
;