Tragedi solat Jumaat Christchurch: Ini respon PM Australia susulan insiden #Eggboy
Astro Awani
Mac 16, 2019 07:06 MYT
Mac 16, 2019 07:06 MYT
PERDANA Menteri Australia, Scott Morrison dilaporkan akan mengecam tindakan Senator Fraser Anning dalam Sidang Parlimen negara itu akan datang.
Satu kenyataan rasmi yang menyelar tindakan Anning dijangka dikeluarkan kerajaan semasa sidang tersebut yang akan bermula semula pada April.
Morrison dalam satu sidang media di Sydney pada Sabtu turut menyatakan Anning patut merasa malu atas kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini.
Morrison berkata demikian ketika diminta untuk mengulas tindakan seorang remaja yang berani memecahkan telur di kepala Anning yang tular di media sosial.
Akibat tindakannya itu, remaja yang dikenali sebagai Will Connolly, 17, ditumbuk sebanyak dua kali oleh Senator Fraser Anning sebelum dileraikan.
Anning mencetuskan kontroversi apabila mengaitkan serangan pengganas di sebuah masjid di New Zealand pada Ahad dengan isu imigran.
Kenyataannya mendapat kecaman majoriti ahli politik di Australia termasuk Ketua pembangkang Australia, Bill Shorten yang menyifatkan komen yang dibuat Anning sebagai menjijikkan.
Video yang dikongsi di laman sosial menunjukkan Connolly turut merakam tindakannya itu semasa Anning sibuk mengadakan sidang media.
Connolly ditahan namun dibebaskan polis selepas soal siasat.
Dalam perkembangan berkaitan, satu petisyen yang menyeru agar Anning dilucutkan jawatannya sudah ditandatangani lebih 300,000 menerusi laman web change.org.