Tragedi solat Jumaat Christchurch: 3 warga Indonesia sempat lolos, 3 masih dicari

Afiq Ariffin
Mac 15, 2019 19:15 MYT
Retno berkata terdapat enam warganegara Indonesia yang berada di masjid itu ketika serangan.-Foto Reuters
TIGA warganegara Indonesia berjaya melarikan diri ketika serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand pada Jumaat.
Menteri Luar Negeri Indonesia, Retno Marsudi berkata ketiga-tiga mereka terselamat apabila berjaya melarikan diri ketika berlakunya tembakan rambang oleh pengganas itu, lapor media tempatan.
"Tiga warganegara Indonesia itu selamat. Kami juga berhasil menghubungi mereka," kata Retno di Pejabat Wakil Presiden di Medan Merdeka Utara, Jakarta Pusat.
Menurut maklumat awal yang diterima, Retno berkata terdapat enam warganegara Indonesia yang berada di dalam masjid tersebut ketika kejadian.
Tambah beliau, pihaknya sedang giat menjejaki tiga lagi warganya yang dikhabarkan masih berada di bandar itu.
"Di Christchurch ada sekitar 330 warganegara Indonesia. 130 daripadanya merupakan pelajar yang belajar di situ.
"Sejurus selepas mendengar insiden penembakan berkenaan, KBRI sudah menghantar pasukan," kata Retno.
Selain itu, Retno juga memberithu bahawa pihaknya sudah berhubung dengan Duta Besar Indonesia di Wellington.
#Duta Besar Indonesia #Indonesia #Jakarta #Menteri Luar Negeri Indonesia #pengganas #Retno Marsudi #serangan #tembakan #warganegara
;