Tragedi MH17: Tiga disabit kesalahan, seorang lagi didapati tidak bersalah
Agensi
November 17, 2022 23:24 MYT
November 17, 2022 23:24 MYT
KUALA LUMPUR: Tiga daripada empat tertuduh yang didakwa menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 2014 disabit kesalahan oleh Mahkamah Belanda pada Khamis.
Lelaki yang disabitkan kesalahan tersebut merupakan dua bekas pegawai perisikan Rusia, manakala seorang lagi pemimpin pemisah Ukraine.
Jelas Ketua Hakim Hendrik Steenhuis, ketiga-tiga mereka didapati bersalah kerana menjatuhkan pesawat dan membunuh semua 298 penumpang termasuk anak kapal di dalamnya.
Warga Rusia, Igor Girkin dan Sergei Dubinsky dan Leonid Kharchenko dari Ukraine didapati bersalah atas pembunuhan dan dengan sengaja menyebabkan pesawat berkenaan terhempas.
Manakala, Oleg Pulatov dari Rusia yang sebelum ini berpendapat bahawa perbicaraan itu tidak adil, dilaporkan tidak bersalah.
Mahkamah sebelum ini memutuskan pesawat itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu buatan Rusia yang disasarkan dari sebuah ladang berhampiran di Pervomaisk yang terletak di Timur Ukraine.
Dalam kejadian itu, kesemua penumpang terbunuh apabila Boeing 777 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak di Timur Ukraine, yang dikuasai oleh pihak pemisah.
Bahan forensik termasuk serpihan yang ditemui dalam mayat mangsa dipetik bagi membuktikan ia adalah peluru berpandu BUK.