Tragedi MH17: Kerajaan Australia ikrar akan terus mencari keadilan

Astro Awani
Julai 17, 2024 10:40 MYT
Kerajaan Australia bertekad akan membawa mereka yang bertanggungjawab ke atas targedi MH17 itu ke muka keadilan. - Foto fail/AP
CANBERRA: Kerajaan Australia mengulangi ikrarnya untuk mendapatkan keadilan bagi mangsa dan keluarga mereka pada ulang tahun ke-10 tragedi pesawat MH17 Malaysia Airlines (MAS).
Pesawat Boeing 777 ditembak jatuh di timur Ukraine sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam, mengorbankan kesemua 283 penumpang dan 15 anak kapal di dalamnya pada 17 Julai 2014.
Pasukan penyiasat antarabangsa giat mencari pihak terlibat dalam kejadian itu.
Peguam Negara Australia Mark Dreyfus berkata, kerajaan tetap bertekad akan membawa mereka yang bertanggungjawab ke atas targedi MH17 itu ke muka keadilan.
Beliau juga akan bersama keluarga mangsa dan orang kenamaan antarabangsa yang lain untuk menyertai upacara peringatan di Lapangan Terbang Schiphol di Belanda pada Khamis.
Pesawat MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur semasa ia ditembak jatuh oleh peluru berpandu BUK ketika terbang di ruang udara timur Ukraine.
Penyiasat berdepan kesukaran mengumpul semua serpihan yang bertebaran di enam lokasi berikutan konflik yang masih berterusan di timur Ukraine.
Bahagian ekor jatuh kira-kira enam kilometer dari lokasi kokpit ditemui manakala bahagian tengah pesawat musnah terbakar.
Kesemua mangsa adalah dari 17 negara termasuk 198 warga Belanda, 43 warga Malaysia, 38 dari Australia dan 10 dari United Kingdom.
Pada 17 Nov 2022, Mahkamah Daerah Hague menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas dua bekas ejen perisikan Rusia Igor Girkin dan Sergei Dubinskiy serta pemimpin pemisah Ukraine Leonid Kharchenko selepas mendapati mereka bersalah atas pertuduhan menyebabkan nahas MH17 dan membunuh kesemua 298 orang di dalamnya.
Bagaimanapun, mahkamah membebaskan seorang lagi rakyat Rusia, Oleg Pulatov atas tuduhan sama.
#MH17 #Keadilan #MAS #Boeing 777
;