Tragedi menjelang Krismas, 5 maut nahas pesawat persendirian

Agensi
Disember 25, 2017 15:27 MYT
Pesawat itu tidak sepatutnya berlepas dalam keadaan cuaca berkabus sangat tebal. - Foto ihsan pejabat Sheriff Polk County
Lima maut, termasuk empat sekeluarga, apabila satu pesawat ringan persendirian terhempas dan terbakar di landasan sebuah lapangan terbang kecil di sini pada Ahad, sehari sebelum penganut Kristian meraikan Hari Krismas.
Kemalangan terjadi ketika pesawat Cessna 340 dengan enjin berkembar itu hendak berlepas dari Bartow Municipal Airport, dalam keadaan cuaca berkabus kira-kira pukul 7 pagi waktu tempatan.
Pesawat itu, yang dikendalikan juruterbang John Shannon, 70 tahun, sedang menuju ke Key West di mana keluarga itu merancang untuk bercuti sempena Krismas.
Selain John, turut terkorban ialah anak-anaknya Olivia Shannon, 24 tahun, Victoria Shannon Worthington, 26 tahun, menantunya Peter Worthington Jr., 27 tahun, dan seorang rakan keluarga itu, Krista Clayton, 32 tahun.
Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dilaporkan akan menyiasat punca sebenar insiden.
Menurut pegawai polis Polk County, Grady Judd, pesawat tersebut tidak sepatutnya berlepas ketika itu dalam keadaan cuaca berkabus sangat tebal
"Ini merupakan satu tragedi, terutamanya apabila ia terjadi menjelang Krismas. Kami sedang sedaya upaya memberikan bantuan kepada keluarga ini dalam menempuhi tragedi yang dahsyat ini," katanya dalam satu kenyataan.
#Cesna 340 #Florida #John Shannon #kemalangan #keselamatan #Key West #Krismas #penerbangan #terhempas
;