Tragedi Mekah, Al-Aqsa diserang: Minggu menyedihkan buat umat Islam
Madiha Abdullah
September 14, 2015 11:36 MYT
September 14, 2015 11:36 MYT
Ujian yang diturunkan kepada manusia merupakan salah satu cara Allah menunjukkan kasih sayangnya kepada manusia. Umat Islam secara umumnya memahami, tiada ujian yang diturunkan Allah, selain yang mampu dihadapi mereka.
Bermula dengan tragedi kren runtuh di Masjidil Haram Jumaat lalu, semalam umat Islam sekali lagi bersedih dengan berita Masjid Al-Aqsa diserang tentera Israel.
Di laman media sosial, umat Islam rata-ratanya berkongsi kesedihan, malah ada yang menyifatkan hujung minggu lalu adalah antara paling sayu untuk dilalui mereka.
Namun begitu, di sebalik bencana yang melanda, ia tetap punya sisi positif. Umat Islam di seluruh dunia saling mengucapkan takziah, berkirim salam dan saling mendoakan, biarpun antara mereka tidak mengenali.
Tidak ketinggalan, mereka yang bukan Muslim, turut berkongsi rasa simpati atas semangat dan rasa kemanusiaan.
Dalam kejadian kren runtuh Jumaat lalu, lima jemaah haji dari Malaysia antara 107 yang maut.
Manakala dalam kejadian serangan ke atas Al-Aqsa pada Ahad, tentera Israel mendakwa sekumpulan penunjuk perasaan berada di dalam masjid berkenaan. Namun laporan media Palestin pula menyatakan tentera Israel menyerang orang awam yang ketika itu baru sahaja selesai menunaikan solat Subuh.