Tragedi letupan gereja Makassar, Indonesia 14 cedera

Astro Awani
Mac 28, 2021 12:07 MYT
Bom tesebut dipercayai meletup di pintu gerbang gereja ketika ketika jemaah gereja sedang melakukan ibadah. - Foto agensi
JAKARTA: Dua pengebom nekad maut dan mencederakan 14 lagi dalam satu insiden letupan di Gereja Katedral Makassar di Sulawesi selatan, Indonesia pada Ahad.
Portal berita Indonesia, Kompas TV melaporkan, letupan tersebut berlaku sekitar jam 10.28 pagi (waktu tempatan).
Jurucakap polis Sulawesi Selatan, E. Zulpan dilaporkan berkata sekumpulan jemaah berada dalam gereja ketika letupan berlaku sejurus selepas selesai menjalankan ibadah.
"Kami mempercayai terdapat cebisan daging manusia. Kami masih sedang menyiasat adakah ia milik suspek atau orang ramai," katanya.
Beberapa kenderaan di kawasan berdekatan turut mengalami kerosakan dan pihak polis telah menutup kawasan itu sebagai langkah keselamatan.
[TERKINI] Letupan berlaku di Gereja Katedral Makassar, Indonesia
Pihak berkuasa kini menyiasat sama ada wujud sebarang hubungan antara pengebom berkenaan dan kumpulan radikal, serta sama ada serangan itu berkaitan dengan penahanan suspek militan baru-baru ini.
Pada Januari, unit membanteras keganasan Indonesia menjalankan serbuan di Makassar dan membunuh dua lelaki dipercayai terlibat dalam pengeboman di sebuah gereja di Filipina pada 2019 yang membunuh lebih 20 orang.
Menurut media tempatan, dua suspek pengebom itu cuba memasuki perkarangan gereja dengan menaiki motosikal sebelum dihentikan oleh seorang pengawal keselamatan.
Tragedi | Letupan di Gereja Katedral Makassar, Sulawesi
Kedua-dua pengebom tersebut kemudiannya disahkan maut dalam serangan itu.
Polis bagaimanapun tidak memperincikan siapa dalang di sebalik serangan tersebut dan tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab setakat ini.
Sementara itu Ketua Agensi Pembanterasan Keganasan Kebangsaan Indonesia, Boy Rafli Amar menggambarkan serangan pada Ahad itu sebagai satu “tindakan keganasan”.
“Tidak kira apa motifnya, serangan ini tidak dibenarkan dalam mana-mana agama sekalipun kerana telah mendatangkan bahaya kepada umum,” kata Yaqut Cholil Qoumas, Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia dalam satu kenyataan.
Indonesia menyaksikan insiden serangan keganasan dengan angka kematian tertinggi di Bali pada 2002 apabila serangan bom membunuh 202 orang, kebanyakannya pelancong dari luar negara.
#gereja #Makassar #tragedi #ledakan bom #E Zulpan #langkah keselamatan
;