Tragedi kren tumbang kekal terpahat dalam ingatan

Bernama
Mei 20, 2024 09:50 MYT
Kejadian kren tumbang yang berlaku pada September 2015 itu mengorbankan lebih 100 jemaah dan mencederakan lebih 230 lagi pada musim haji 1436H/2015. - Foto fail
MEKAH: Tragedi kren tumbang di Masjidil Haram pada petang 11 Sept 2015, yang mengorbankan tujuh jemaah Malaysia dan mencederakan dua lagi yang lain, sehingga kini masih terpahat dalam ingatan Ketua Unit Pasukan Peronda Lembaga Tabung Haji (TH) Insp Mohamed Amer Jawahil.
Bagi anak jati Johor itu, insiden ketika jemaah sedang bersiap hendak solat Asar dI Masjidil Haram itu benar-benar menguji kemampuannya untuk berfikir dan bertindak cepat sebagai ketua pasukan 'penyelamat' kepada jemaah.
"Saya masih ingat semasa itu saya bertugas di tingkat dua Masjidil Haram. Semasa hendak masuk menunaikan solat Asar, dari jauh di arah bukit memang dah nampak awan gelap sebelum diikuti ribut pasir yang berterbangan masuk ke dalam masjid.
"Ia kemudian diikuti dengan hujan lebat dan angin kuat menyebabkan saya cepat-cepat berusaha untuk masuk ke dalam Masjidil Haram.
"Semasa hendak masuk ke dalam masjid itulah tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat dan jemaah dari negara lain kelihatan panik meluru keluar dengan ada beberapa orang daripadanya cedera," katanya mengimbau kenangan.
Bercakap kepada petugas media ketika ditemui di Ibu Pejabat TH di sini, semalam, dalam insiden itulah sistem penyampaian maklumat dengan unit lain seperti Bahagian Perubatan dan Bahagian Khidmat Pelanggan di Ibu Pejabat TH teruji ketika melaporkan perkembangan terkini yang berlaku di tempat kejadian.
Susulan peristiwa itu, pihak TH memperkemaskan lagi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan aspek keselamatan jemaah semasa di Tanah Suci selain Pasukan Unit Peronda TH selepas itu turut dilengkapkan dengan kemahiran menyelamat.
Kejadian kren tumbang yang berlaku pada September 2015 itu mengorbankan lebih 100 jemaah dan mencederakan lebih 230 lagi pada musim haji 1436H/2015.
Sementara itu, biarpun terpaksa berhadapan cuaca panas yang kini mencecah sehingga lebih 50 darjah Celsius, Pasukan Unit Peronda TH cekal melakukan rondaan 24 jam tanpa henti di lapan lokasi tumpuan antaranya Pintu Marwa, Pintu Babussalam dan Pintu King Fahd.
Seramai 18 anggota melakukan rondaan mengikut giliran bagi membantu jemaah haji yang tersasar atau sesat mencari jalan di Masjidil Haram atau jalan pulang ke maktab penginapan, selain membantu mereka yang mempunyai masalah kesihatan.
Beliau yang telah berkhidmat dengan TH selama 35 tahun berkata antara cabaran yang perlu dilalui adalah anggota perlu berjalan kaki lebih tujuh kilometer setiap kali bertugas selain perlu berdiri dalam tempoh yang lama.
Bagaimanapun, katanya sebelum bergerak ke Tanah Suci, pasukan itu sudah diterapkan dengan persediaan mental dan fizikal kerana sememangnya tugas mereka amat berat dan memerlukan pengorbanan yang tinggi.
-- BERNAMA
#kren tumbang #jemaah TH #Masjidil Haram #solat asar
;