Tragedi kren Masjidilharam: Pihak berkuasa Arab Saudi mulakan siasatan

AFP
September 12, 2015 20:25 MYT
Pegawai rasmi kerajaan Arab Saudi berkata persiapan bagi melaksanakan tuntutan kelima Rukun Islam itu tidak akan terjejas berikutan tragedi itu. - Gambar fail
Pihak berkuasa Arab Saudi pada Sabtu memulakan siasatan insiden kren pembinaan yang tumbang dalam kejadian ribut di Masjidilharam, Mekah hingga mengakibatkan sekurang-kurangnya 107 orang terkorban.
Kejadian tersebut berlaku beberapa hari sebelum musim haji bermula.
Suasana panik tercetus apabila kren besar itu tumbang lalu menyebabkan kerosakan kepada bangunan tersebut ketika ramai orang terus berkumpul di Masjidilharam selepas solat Jumaat.
Ratusan ribu jemaah sudahpun tiba di Mekah untuk ibadah haji dan pegawai rasmi kerajaan Arab Saudi berkata persiapan bagi melaksanakan tuntutan kelima Rukun Islam itu tidak akan terjejas berikutan tragedi itu.
Indonesia, negara terbesar dunia dengan populasi Muslim, menyatakan vabahawa dua warganegaranya terkorban, manakala Malaysia dan Iran mengesahkan bahawa warganya adalah antara yang tercedera.
BACA: Identiti lapan jemaah Malaysia dikenal pasti
Ketika para pemimpin dunia menyampaikan ucapan takziah, Gabenor Mekah Putera Khaled al-Faisal, telah mengarahkan agar siasatan dibuat mengenai insiden tersebut.
Abdel Aziz Naqoor, yang mendakwa bekerja di Masjidilharam, memberitahu bahawa kren pembinaan yang besar itu tumbang selepas dipukul ribut.
“Kalau bukan kerana jambatan At-Tawaf, statistik kecederaan dan kematian mungkin lebih teruk,” ujarnya, merujuk kepada laluan berbumbung sekeliling Kaabah yang menahan kejatuhan kren tersebut.
Gambar-gambar insiden berkenaan yang tersebar di media sosial menunjukkan jasad-jasad mangsa berdarah dan bergelimpangan dengan bahagian atas kren tersebut rosak teruk kerana menghentam bangunan Masjidilharam yang bertingkat.
Sebuah rakaman video di YouTube menunjukkan orang ramai menjerit dan berasak menyelamatkan diri selepas kemalangan itu terjadi.
Jurucakap dua masjid suci Ahmed Mohammad al-Mansoori berkata, sebahagian daripada kren telah tumbang pada jam 5.10 petang akibat angin kencang dan hujan lebat.
Takziah dari seluruh dunia
Pengasas bersama Yayasan Penyelidikan Warisan Islam yang berpangkalan di Mekah, Irfan al-Alawi, membandingkan kejadian itu dengan kemusnahan yang disebabkan bom.
Beliau berkata, pihak berkuasa mengabaikan tanggungjawab dengan membiarkan banyak kren ditempatkan di sekeliling Masjidilharam tanpa pengawasan.
"Mereka tidak peduli pada warisan dan mereka tidak peduli aspek kesihatan dan keselamatan,” katanya.
Alawi sering memberikan kritikan terbuka tentang perkembangan di kedua-dua tapak suci tersebut yang dilihat semakin membelakangkan perkaitan dengan sejarah Nabi Muhammad.
Jurucakap Kementerian Luar Indonesia Arrmanatha Nasir berkata selain daripada dua warganya yang terkorban , lebih daripada 30 lagi cedera termasuk cedera parah.
"Ketua konsulat sedang bergerak dari beberapa hospital untuk mengenal pasti jika ada lebih ramai warga Indonesia cedera serta tidak dilaporkan,” katanya.
Bagi Malaysia pula, pasukan mencari dan menyelamat Tabung Haji sedang bekerjasama dengan Muassasah Asia untuk mencari jemaah haji yang masih hilang.
Sementara itu agensi berita Iran IRNA, memetik kata ketua pengurusan organisasi haji negara itu Saeid Ohadi berkata, 15 jemaah warganya turut cedera dan kini dirawat sebagai pesakit luar.
Sehubungan perkembangan tersebut, ucapan takziah diterima dari serata dunia.
Perdana Menteri India Narendra Modi turut menzahirkan rasa dukacitanya tentang insiden tersebut.
“Ingatan dan doa saya untuk keluarga mangsa yang terkorban dalam kes kren tumbang di Mekah. Saya mengharapkan yang cedera akan segera sembuh,” ujarnya dalam Twitter.
Perdana Menteri Britain David Cameron melalui Twitternya pula berkata: “Ingatan dan doa saya bersama mereka yang kehilangan orang tersayang di Mekah hari ini”.
Sebuah projek besar-besaran sedang berjalan sekarang ini di sekeliling Masjidilharam untuk membesarkan keluasan tempat ibadah itu kepada 400,000 meter persegi bagi menyediakan kemudahan untuk 2.2 juta jemaah pada satu-satu masa.
Sehingga Jumaat, hampir 800,000 jemaah haji dari seluruh dunia telah tiba di Tanah Suci.
#Haji #jemaah #kren tumbang #masjidilharam #Mekah #takziah
;