Tragedi kereta api Taiwan: Puluhan disahkan maut, kerja menyelamat berdepan kesukaran

Agensi
April 2, 2021 16:02 MYT
Penumpang yang berada di dalam terowong terpaksa berjalan keluar di bahagian atas gerabak. - Reuters
TAIPEI: Sekurang-kurangnya 36 orang terbunuh dan 70 lagi masih terperangkap dalam gerabak yang remuk selepas sebuah kereta api tergelincir dari landasan di utara Hualien, Taiwan, pada Jumaat.
Reuters melaporkan, kemalangan itu berpunca daripada pelanggaran dengan sebuah lori yang tergelongsor ke rentangan landasan akibat tidak diletakkan dengan betul di sebuah tapak pembinaan.
Beberapa media antarabangsa dan tempatan melaporkan jumlah korban nyawa sudahpun melebihi 40 orang.
Kemalangan yang dianggap tragedi paling dahsyat dalam tempoh empat dekad, itu turut mencederakan lebih 40 penumpang lain.
Kereta api ekspres itu bertolak dri Taipei ke Taitung dengan membawa ramai pelancong dan mereka yang mahu pulang ke kampung sempena cuti hujung minggu yang panjang.
36 maut kereta api tergelincir di Taiwan
Pelanggaran itu membuatkan gerabak-gerabak tergelincir dari landasan di sebuah terowong.
Foto-foto di tempat kejadian menunjukkan gerabak-gerabak yang berada di dalam terowong itu remuk teruk akibat impak pelanggaran, lantas menyukarkan pasukan penyelamat mendekati mangsa yang terperangkap.
Kereta api itu membawa sekitar 350 orang, malah media tempatan melaporkan, ramai penumpang yang berdiri memandangkan kapasitinya penuh. Itu membuatkan mereka tercampak sewaktu impak berlaku.
Lebih daripada 40 mangsa sudah dibawa ke hospital dan puluhan lagi masih menunggu untuk menerima rawatan awal di lokasi kejadian.
Antara 80 hingga 100 orang telah dikeluarkan dari empat gerabak pertama, manakala gerabak kelima hingga kelapan mengalami kesan remuk yang teruk hingga menyukarkan operasi mengaksesnya.
Kemalangan itu berlaku ketika Taiwan sedang dalam cuti hujung minggu yang panjang, dan lokasi kejadian merupakan laluan ke kawasan perunungan yang menjadi tarikan pelancongan popular.
#Taiwan #kereta api tergelicir #korban nyawa #angka kematian #Taipei #Taitung #Hualien #kemalangan kereta api
;