Tragedi kapal tentera laut Thailand karam: Angka korban meningkat 21 orang
Bernama
Disember 27, 2022 16:47 MYT
Disember 27, 2022 16:47 MYT
BANGKOK: Dua lagi mayat ditemukan dalam tragedi kapal perang Thailand karam ketika ribut di Teluk Thailand pada 18 Dis.
Setakat 11.30 pagi (waktu tempatan) pada Selasa, Tentera Laut Thailand telah menemukan 21 mayat kelasi yang hilang.
Jurucakap Tentera Laut Pogkrong Montradpalin berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) lapan lagi kelasi yang hilang masih diteruskan.
"Pagi ini, kami menemukan dua mayat lagi. Proses bedah siasat dan pengecaman akan mengambil masa kira-kira tiga atau empat hari," katanya.
Pada 18 Dis, kapal HTMS Sukhothai yang membawa 105 kelasi mengalami kerosakan enjin sebelum karam di 20 batu nautika dari wilayah Prachuap Khiri Khan kira-kira 11.30 malam (waktu tempatan) pada 18 Dis.
Sementara itu, Tentera Laut berikrar untuk menjalankan siasatan terperinci dan memberikan penjelasan penuh mengenai tragedi itu tidak lama lagi.
-- BERNAMA