Tragedi kapal selam Titan: Ini fakta dan kronologi kejadian yang perlu anda tahu
Agensi
Jun 23, 2023 16:10 MYT
Jun 23, 2023 16:10 MYT
DUNIA baru-baru ini dikejutkan dengan berita kehilangan kapal selam pelancong Titan milik OceanGate yang digunakan untuk melihat bangkai kapal Titanic yang karam pada 1912.
Selepas lima hari pencarian, Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) mengesahkan kapal selam yang membawa lima penumpang itu meletup selepas serpihan kapal selam itu ditemukan.
Semua lima mangsa yang berada di dalam kapal selam itu disahkan maut sekali gus menamatkan operasi pencarian yang berlanjutan selama lima hari.
Tragedi itu menarik perhatian dunia dan mendapat liputan meluas media antarabangsa.
Astro AWANI rangkumkan beberapa maklumat penting sepanjang operasi pencarian kapal selam itu yang akhirnya mengorbankan kesemua penumpangnya.
20 Jun 2023
Menurut Pengawal Pantai AS, kapal selam Titan itu mula menyelam pada jam 8 pagi pada Ahad dan sepatutnya muncul semula ke permukaan tujuh jam kemudian.
Kapal pelancong sepanjang 21 kaki (6.5 meter) itu terputus komunikasi dengan kapal induknya kurang dua jam dalam perjalanannya untuk melihat bangkai kapal Titanic, yang terletak lebih 2 batu (hampir 4 kilometer) di bawah permukaan lautan Atlantik Utara.
Titan yang seberat 10,432 kilogram itu boleh mencapai kedalaman sehingga 4,000 meter dan mempunyai 96 jam sokongan oksigen untuk lima anak kapalnya.
Tiketnya berharga AS$250,000 (RM1.168 juta) untuk selaman selama lapan hari di sekitar bangkai kapal Titanic.
Sebaik berita kehilangannya disahkan, pasukan Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) dan Kanada bertungkus lumus untuk mengesannya.
Maklumat yang mereka peroleh, kapal selam itu membawa lima orang termasuk seorang bilionair hilang semasa menuju ke bangkai kapal Titanic di Lautan Atlantik Utara.
Pengawal Pantai AS berkata, pihaknya melancarkan pencarian di kawasan yang terletak 1,450 kilometer ke timur Cape Cod, Massachusetts.
Pengawal Pantai Kanada pula telah mengerahkan pesawat dan sebuah kapal ke zon pencarian.
21 Jun 2023
Maklumat awal, penumpang dalam kapal selam hanya mempunyai 96 jam bekalan oksigen dan memasuki hari Rabu, mereka hanya mempunyai baki kira-kira 28 jam bekalan oksigen.
Sebuah pesawat Kanada mengesan 'bunyi di bawah permukaan air' di kawasan pencarian kapal selam Titan yang hilang berhampiran bangkai kapal Titanic, menurut pengawal pantai Amerika Syarikat.
22 Jun 2023
Jangkaan kapal selam Titan mempunyai kadar oksigen mencukupi sehingga jam 7.08 pagi atau 7.08 malam waktu Malaysia.
Identiti kelima-lima penumpang dalam kapal selam itu didedahkan. Mereka ialah:
1. Stockton Rush (Pengasas, CEO OceanGate Expeditions, mengemudi kapal selam itu)
2. Hamish Harding (Ahli perniagaan, penjelajah dan bilionair Britain)
3. Paul-Henri Nargeolet (Pakar maritim Perancis yang melakukan lebih 35 selaman ke lokasi Titanic)
4. Shahzada Dawood (Ahli perniagaan berketurunan Britain-Pakistan)
5. Suleman (Anak kepada Shahzada)
23 Jun 2023
Pengawal Pantai Amerika Syarikat mengumumkan semua lima individu dalam kapal selam itu terbunuh.
Pihak berkuasa melabelkan kejadian itu sebagai "letupan bencana" laut dalam.
Pengumuman itu menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) multinasional sejak kapal pelancong kecil itu hilang di Atlantik Utara pada 20 Jun lepas.
Analisis menunjukkan serpihan yang ditemukan di dasar laut 500 meter dari bangkai Titanic adalah konsisten dengan letupan ruang tekanan kapal selam itu.