Tragedi Halloween Itaewon: Pengendali media sosial gesa pengguna tidak sebar rakaman, maklumat salah
Bernama
Oktober 30, 2022 20:22 MYT
Oktober 30, 2022 20:22 MYT
SEOUL: Pengendali media sosial dan portal dalam talian di Korea Selatan pada Ahad menggesa pengguna tidak menyebarkan rakaman video yang boleh mencetuskan kebimbangan atau maklumat tidak berasas mengenai insiden rempuhan di Itaewon yang mengorbankan lebih 150 nyawa.
Kakao, selaku pengendali khidmat penghantaran mesej dalam talian nombor satu, KakaoTalk meminta penggunanya untuk berhati-hati dalam berkongsi atau menulis mengenai insiden itu, lapor Agensi Berita Yonhap.
"Kami meminta anda tidak memuat naik foto atau video yang mendedahkan identiti mangsa dan menyebarkan atau berkongsi fakta yang tidak sah berkaitan kejadian itu," menurut Kakao.
Pengendali portal internet terkemuka Naver turut mengeluarkan notis sama yang meminta pengguna berhenti menyebarkan foto, rakaman atau komen tidak sahih yang mungkin boleh mendedahkan identiti mangsa.
Twitter juga meminta penggunanya untuk tidak twit semula siaran sensitif selaras dengan dasarnya dan menggesa pengguna membuat laporan jika sebarang twit mengandungi kandungan bermasalah.
Gesaan itu dilakukan selepas beberapa rakaman berhubung insiden itu tersebar di media sosial dan portal dalam talian seperti Twitter dan Instagram.
Beberapa rakaman memaparkan keadaan huru-hara, termasuk sekumpulan individu berkerumun di satu tempat dan menjerit antara satu sama lain, pekerja perubatan melakukan CPR ke atas mangsa dan mayat yang bergelimpangan di tepi jalan.
-- BERNAMA