Tragedi Halloween Itaewon: Biden ucap takziah
Bernama
Oktober 30, 2022 09:50 MYT
Oktober 30, 2022 09:50 MYT
SEOUL: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mengucapkan "takziah" atas kejadian rempuhan di Seoul yang mengorbankan sekurang-kurangnya 149 orang, lapor Agensi Berita Yonhap.
"Saya dan Jill (Biden) mengucapkan takziah kepada mereka yang kehilangan orang tersayang di Seoul.
"Kami turut bersedih dengan rakyat Korea Selatan dan berharap semua yang cedera cepat sembuh.
"Ikatan antara kedua-dua negara kita dan hubungan antara rakyat kita lebih kukuh berbanding sebelum ini.
"AS bersama Korea Selatan pada masa yang tragis ini," katanya dalam satu kenyataan.
Seramai 149 orang, termasuk dua warga asing disahkan maut setakat awal pagi Ahad manakala 76 yang lain cedera dan 57 daripadanya parah, menurut pihak berkuasa bomba.
Angka kematian dijangka meningkat dan punca sebenar kejadian masih belum diketahui.
Presiden Yoon Suk Yeol kemudian mempengerusikan dua mesyuarat tergempar dan mengarahkan pegawainya menyalurkan bantuan kecemasan serta merawat mangsa yang cedera, menurut pejabat presiden.
Polis akan melancarkan siasatan tidak lama lagi serta menyiasat sama ada bar dan kelab di kawasan itu mematuhi peraturan keselamatan.
-- BERNAMA