Tragedi Cianjur: Mayat penjual bakso peluk erat anak ditemui
Faida Rahim
November 28, 2022 13:45 MYT
November 28, 2022 13:45 MYT
JAKARTA: Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) hari ini menemui jasad seorang lelaki yang sedang memeluk anaknya dalam timbunan runtuhan tanah akibat gempa bumi di Cianjur, Jawa Barat, pada minggu lalu.
Memetik laporan CNN Indonesia, mayat dua beranak yang dikenali sebagai Endin dan anak perempuannya, Anisa ditemui tertimbus di bawah tanah di kedalaman dua meter.
Menurut jiran mangsa, Endin dan Anisa hilang sejak 21 November lalu.
“Endin dikenali penduduk setempat sebagai penjual bakso rebus di tepi Jalan Cugenang,” kata salah seorang jiran.
Difahamkan, jasad Endin ditemui di bawah runtuhan dalam keadaan memeluk anak perempuannya, Anisa, kira-kira 10 meter dari rumah mereka.
Koordinator Pasukan Basarnas Bravo Kampung Cijedil, Ikhsan Alwi berkata kedua-dua mayat itu turut disahkan merupakan bapa dan anak perempuannya.
“Ya, kedudukan bapa meniarap, anak di sebelah kiri, berpeluk, ya berpelukan,” katanya kepada pemberita di lokasi pencarian.
Menurut Ikhsan lagi, pihaknya berdepan beberapa halangan dalam menjalankan proses menyelamat yang berjalan sejak seminggu lalu. Menurutnya, keadaan tanah runtuh terlalu tebal.
Angka kematian akibat gempa bumi yang melanda pulau Jawa Isnin lalu itu kini meningkat kepada 310 orang selepas penyelamat menemukan lebih banyak mayat di bawah serpihan bangunan dan tanah runtuh.
Sekurang-kurangnya 24 orang masih hilang dan lebih 1,400 penyelamat dikerah menjejak mangsa di bawah runtuhan gempa bumi berukuran 5.6 magnitud yang turut mencederakan lebih 2,000 orang.