Tragedi belon istana: Seorang lagi kanak-kanak meninggal dunia

Astro Awani
Disember 20, 2021 09:18 MYT
Orang ramai serta pelajar Sekolah Rendah Hillcrest meletakkan bunga di luar perkarangan sekolah bagi memperingati mangsa yang meninggal dunia. - Foto AP
TASMANIA: Angka kematian susulan tragedi permainan belon istana di Australia minggu lepas meningkat kepada enam selepas seorang lagi kanak-kanak meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya.
Menurut polis, Chace Harrison, 11, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Hobart pada Ahad.
Harrison antara sembilan kanak-kanak yang terjatuh dari ketinggian kira-kira 10 meter ketika belon istana itu ditiup angin kuat semasa hari sukaneka sebuah sekolah rendah di Devonport, Tasmania.
Dua lagi kanak-kanak masih dalam keadaan kritikal dan kini dirawat di hospital.
Lima lagi kanak-kanak yang meninggal dunia dalam kejadian itu ialah Addison Stewart, 11, Zane Mellor, Jye Sheehan, Jalailah Jayne-Maree Jones, dan Peter Dodt yang kesemuanya berusia 12 tahun.
Seorang kanak-kanak lelaki yang cedera dalam insiden berkenaan dibenarkan pulang dari hospital pada Jumaat.
Ketika ini siasatan terperinci masih dijalankan bagi mengetahui bagaimana insiden itu boleh berlaku.
"Kami tidak mahu terburu-buru melakukan siasatan namun kami faham komuniti di sini mahu jawapan," kata Pesuruhjaya Polis Tasmania, Darren Hine pada Ahad.
Tambahnya seramai 40 kanak-kanak serta guru sekolah dan ibu bapa hadir di acara sukaneka tersebut yang diadakan sempena hari terakhir sesi persekolahan.
"Sangat penting bagi kami untuk tidak membuat keputusan terburu-buru mengenai punca kejadian sehingga siasatan terperinci dilengkapkan," katanya lagi.
#meninggal dunia #belon istana #Kanak-kanak #Hospital Hobart
;