Trafik penumpang antarabangsa penerbangan Asia melonjak 161 peratus pada 2023 - AAPA

Bernama
Januari 31, 2024 18:30 MYT
Pertumbuhan trafik penumpang antarabangsa yang menggunakan perkhidmatan syarikat-syarikat penerbangan rantau Asia melonjak sebanyak 161 peratus pada 2023. - Gambar hiasan/Astro AWANI
SINGAPURA: Pertumbuhan trafik penumpang antarabangsa yang menggunakan perkhidmatan syarikat-syarikat penerbangan rantau Asia melonjak sebanyak 161 peratus pada 2023, kata Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik (AAPA).
Ketua Pengarahnya Subhas Menon berkata jumlah purata penumpang mencapai 72 peratus paras sebelum pandemik, peningkatan ketara daripada 28 peratus pada 2022.
AAPA hari ini mengeluarkan angka trafik awalnya untuk tahun penuh 2023.
Beliau berkata meskipun permintaan kargo udara antarabangsa menurun sebanyak 2.8 peratus bagi 2023, suku terakhir 2023 menyaksikan peningkatan 8.2 peratus berbanding tempoh yang sama sebelumnya.
Secara keseluruhan, 2023 adalah tahun yang baik untuk syarikat penerbangan di rantau ini, katanya dalam satu kenyataan.
"Permintaan penumpang meningkat tanpa henti, manakala pasaran kargo udara mengakhiri tahun pada tahap yang tinggi.
"Pemulihan beransur-ansur frekuensi penerbangan dan ketersambungan antara bandar sepanjang tahun memberikan lebih banyak pilihan untuk pengembara dan terus merangsang permintaan," katanya.
Bagaimanapun, Menon berkata ketika operasi memulih secara berperingkat, syarikat penerbangan menghadapi kekangan kapasiti selain tekanan kos yang meningkat didorong oleh harga bahan api yang tidak menentu, dolar AS yang kukuh dan kesan inflasi ke atas operasi.
Menurut AAPA, bagi tahun itu, syarikat penerbangan di rantau ini mencatatkan peningkatan 161 peratus dalam jumlah penumpang antarabangsa yang dibawa kepada jumlah gabungan 278.5 juta.
Sementara itu, memasuki tahun 2023 pasaran kargo udara pula dibebani pelbagai cabaran, termasuk inflasi serta pengukuhan dolar AS.
Namun begitu, pada bulan-bulan terakhirnya ia menyaksikan permintaan berkembang dengan kukuh, diterajui oleh peningkatan dalam penghantaran e-dagang.
Memandang ke hadapan, Menon menyatakan bahawa 2024 menjanjikan satu lagi tahun yang baik untuk syarikat-syarikat penerbangan Asia. Trafik penumpang antarabangsa dijangka kembali ke tahap sebelum pandemik dalam beberapa bulan akan datang, dirangsang oleh kembalinya pelancongan dan pengembangan ekonomi wilayah yang berdaya tahan.
"Bagaimanapun, masih terdapat beberapa ketidaktentuan dalam perniagaan dan sentimen pengguna di tengah-tengah peningkatan risiko geopolitik. Oleh itu, syarikat-syarikat penerbangan di rantau ini kekal berwaspada terhadap pengaruh pasaran sambil terus melabur untuk pertumbuhan masa depan."
-- BERNAMA
#trafik penumpang antarabangsa #penerbangan Asia #AAPA #Subhas Menon
;