Trafik di selatan Moscow masih terjejas selepas pengunduran Wagner

Bernama
Jun 25, 2023 05:15 MYT
Orang ramai kelihatan berada berhampiran Red Square yang ditutup di Moscow, Rusia, 25 Jun 2023. - REUTERS
MOSCOW: Sebahagian lebuh raya di selatan ibu negara masih terganggu pada Ahad, sehari selepas tamatnya kemaraan tentera upahan Rusia Wagner dari Rostov-on-Don, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Penghadang menjejaskan persekitaran Moscow dan wilayah Tula di selatan ibu negara, menurut pihak berkuasa penyelia jalan Avtodor menerusi hantaran di Telegram.
Di kawasan lain, sekatan telah ditarik balik dan lalu lintas bergerak lancar.
Ketika pertelingkahan antara ketua Wagner Yevgeny Prigozhin dan kepimpinan Rusia berlangsung, beberapa kenderaan perisai tentera upahan dipandu menuju ke Moscow pada Sabtu.
Bagi memperlahankan kemaraan mereka, pihak berkuasa wilayah tergesa-gesa membuat sekatan jalan raya dan turut merosakkan jalan di beberapa lokasi.
-- BERNAMA
#Rusia #Sekatan Jalan Raya #Wagner #Moscow
;