Tradisi tembakan meriam iftar di Libya dihidupkan semula selepas 48 tahun

Bernama
Mac 24, 2023 18:18 MYT
Upacara pada hari pertama Ramadan itu telah diadakan di Algiers Square, dan dikawal selia oleh Perbandaran Tripoli Tengah. - Gambar fail
TRIPOLI: Ibu kota Libya menyaksikan upacara tembakan meriam Iftar, sempena Ramadan yang dihidupkan semula selepas 48 tahun.
Upacara pada hari pertama Ramadan itu telah diadakan di Algiers Square di sini, dan dikawal selia oleh Perbandaran Tripoli Tengah, lapor Agensi Anadolu.
Upacara itu turut dihadiri Ketua Perbandaran Tripoli Tengah Ibrahim Al-Khulaifi, tetamu kenamaan dan warga kota itu.
"Tembakan meriam Iftar merupakan tradisi lama bagi penduduk Tripoli dan kami gembira dengan sebarang langkah mengembalikan tradisi dan kebudayaan masyarakat.
"Tradisi ini telah dihentikan sejak 1975, dan kini kami berazam untuk menghidupkan semula warisan itu," kata Al-Khulaifi kepada Anadolu.
Sementara itu, ahli Majlis Perbandaran Tripoli Tengah, Akram Abdel Majid Dribkeh berkata tujuan menghidupkan semula tradisi tembakan meriam Iftar adalah memberi kegembiraan kepada penduduk selepas keadaan kembali aman dan stabil.
"Tradisi ini mula dilaksanakan di Istana Saraya (kini muzium terbesar di Libya) pada awal tahun 70-an tetapi kemudian dihentikan," katanya.
Abdul Karim Al-Zarqani, seorang penduduk bandar Tripoli berkata tembakan meriam Iftar sememangnya wujud di beberapa negara Islam lain dan Libya.
Warisan ini diwujudkan kerana kekurangan alat pembesar suara untuk memberitahu penduduk bandar bahawa masuk waktu azan (Maghrib) menandakan waktu berbuka puasa pada ketika itu.
"Menghidupkan semula tradisi tembakan meriam Iftar adalah perkara yang menggembirakan, kerana ia adalah antara adat paling penting dan berkait rapat dengan bulan Ramadan di negara ini sebelum ini, serta membentuk sebahagian daripada kenangan dan sejarah bandar itu", katanya.
-- BERNAMA
#tembakan meriam #Libya #waktu berbuka puasa #Ramadan
;