Tradisi pusat penjaja Singapura diiktiraf UNESCO
Agensi
Disember 17, 2020 14:39 MYT
Disember 17, 2020 14:39 MYT
SINGAPURA: Tradisi menikmati makanan di ruang umum terbuka pusat penjaja di Singapura yang dipopularkan chef selebriti dan filem popular seperti Crazy Rich Asians, telah mendapat pengiktirafan.
Pengiktirafan daripada pihak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) itu diberikan atas sebab nilai signifikasi budaya dalam kalangan rakyat pulau republik itu.
Pada Rabu, agensi kebudayaan PBB tersebut telah menambah 'budaya penjaja' Singapura dalam senarai Warisan Budaya Tidak Ketara, hampir dua tahun selepas Singapura menghantar penyertaan untuk dinilai.
Pusat penjaja di Singapura dibina untuk menempatkan bekas penjaja dan penjual jalanan, sebagai sebahagian usaha pembersihan negara itu sekitar tahun 1970-an. Setiap lokasi pusat penjaja itu menawarkan pelbagai hidangan murah dan mudah sedia kepada pelanggan tempatam, selain menawarkan suasana sosial.
"Pusat penjaja ini berfungsi sebagai ruang makan komuniti, dengan pelbagai lapisan masyarakat berkumpul dan berkongsi pengalaman menjamu selera sama ada ketika waktu sarapan, makan tengah hari atau makan malam," ujar wakil UNESCO.
Chef selebriti seperti Anthony Bourdain dan Gordon Ramsay sebelum ini sudah 'mempromosi' makanan kegemaran mereka di pusat penjaja seumpamanya, seperti nasi ayam.
Pada tahun 2018 pula, filem Crazy Rich Asians menunjukkan aksi para pelakonnya menikmati variasi hidangan untuk makan malam di lokasi berkenaan. Sementara itu, ada beberapa pengusaha gerai juga telah meraih bintang Michelin bagi hidangan yang hanya berharga beberapa dolar.
Walau bagaimanapun, pusat penjaja Singapura berdepan cabaran tersendiri.
Umur median bagi golongan penjaja di republik itu ialah 60 tahun, dan golongan muda tempatan sudah 'menjauhi' pekerjaan di dapur yang sempit dan panas untuk memilih kerjaya di pejabat selesa. Pandemik COVID-19 juga satu tamparan hebat apabila tiada pelancong yang boleh datang ke tempat itu seperti biasa, malah warga tempatan juga tidak dibenarkan makan di luar kediaman ketika perintah kawalan pergerakan mula dikuatkuasakan pada awal tahun ini.
Singapura perlu menghantar laporan kepada UNESCO setiap enam tahun, bagi menunjukkan usaha yang dijalankan untuk mengekal dan mempromosi 'budaya penjaja' mereka.