TPM Thai jalani kuarantin selepas ahli mesyuarat positif COVID-19

Bernama
Disember 28, 2020 21:22 MYT
Anutin yang juga Menteri Kesihatan Awam menghadiri mesyuarat di Hospital Samut Sakhon pada Ahad yang turut dihadiri gabenor berkenaan. -Bernama
BANGKOK: Timbalan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul kini menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari selepas seorang gabenor wilayah yang menghadiri mesyuarat bersamanya disahkan positif COVID-19.
Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata Gabenor Samut Sakhon iaitu Weerasak Wijitsaengsri disahkan positif jangkitan itu hari ini.
Provinsi Samut Sakhon merekodkan lonjakan kes COVID-19 sejak pertengahan bulan ini yang bermula daripada jangkitan di sebuah pasar makanan laut.
Setakat ini lebih 1,300 kes COVID-19 dikaitkan dengan pasar itu dengan kebanyakan yang dijangkiti merupakan pekerja asing warga Myanmar.
Anutin yang juga Menteri Kesihatan Awam menghadiri mesyuarat di Hospital Samut Sakhon pada Ahad yang turut dihadiri gabenor berkenaan.
Bagaimanapun Timbalan Menteri Kesihatan Awam Satit Pitutacha berkata keputusan ujian calitan Anutin ialah negatif.
"Beliau akan menjalani ujian kedua dalam tempoh tiga hari lagi," katanya pada satu sidang media.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Thailand Dr Opas Karnkawinpong berkata kesemua pegawai kanan yang menghadiri mesyuarat berkenaan serta mereka yang menyertai lawatan Anutin ke Samut Sakhon disahkan negatif.
Dalam tempoh 24 jam lepas, Thailand melaporkan 144 jangkitan baharu COVID-19 termasuk 115 jangkitan tempatan, 14 daripada pengesanan kes aktif di Samut Sakhon serta 15 kes import.
Setakat ini, Thailand merekodkan 6,285 kes positif COVID-19 dengan 60 kematian.
-- BERNAMA
#COVID-19 #Thailand #Timbalan Perdana Menteri #kesihatan #kes positif
;