TPM Singapura, Wong jelaskan waktu sebenar penggantian belum diputuskan
Bernama
Ogos 16, 2022 05:00 MYT
Ogos 16, 2022 05:00 MYT
SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong berkata waktu sebenar untuk beliau menggantikan Lee Hsien Loong sebagai perdana menteri belum diputuskan lagi.
Wong berkata demikian semasa satu temu bual dengan Ketua Pengarang Berita Bloomberg John Micklethwait pada 15 Ogos dan transkrip penuh temu bual itu tersedia di laman sesawang Kementerian Kewangan.
Menjawab soalan Micklethwait mengenai bilakah beliau mungkin akan mengambil alih, Wong berkata kerajaan mempunyai proses yang sangat teliti dan menyeluruh untuk menentukan mengenai perancangan penggantian pemimpin.
"Rancangan itu terganggu kerana COVID-19. Kemudian kami terpaksa berbincang kembali, dan kami mahukan satu proses yang membolehkan kami memilih pemimpin sambil mengukuhkan semangat pasukan dalam Kabinet, dan kami telahpun melakukannya.
"Saya dipilih oleh rakan sekerja saya untuk mengetuai pasukan, saya berbesar hati dengan pilihan mereka, dan kami kini dalam proses membincangkan bilakah masa yang sesuai untuk saya mengambil alih daripada Perdana Menteri Lee," jelas Wong.
Menekan lebih lanjut mengenai masa, Micklethwait bertanya adakah Wong menjangkakan ia akan berlaku sebelum Pilihan Raya Umum pada 2025?
Wong menjawab bahawa "tidak lewat daripada 2025 - mungkin lebih awal."
"Seperti yang telah kita bincangkan sebelum ini, dan kita telah menyebut perkara ini dalam sidang akhbar yang lalu, ia boleh berlaku sebelum Pilihan Raya Umum, dalam hal ini jika saya mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan saya jelas akan mengetuai PAP (Parti Tindakan Rakyat) dan pasukan 4G (Generasi Keempat) dalam pilihan raya," jelas beliau.
Atau PM Lee akan terus memimpin parti dalam pilihan raya akan datang sebagai perdana menteri, dan kemudian melepaskan jawatan kepadanya sekiranya PAP menang, tambah Wong.
"Ini adalah pilihan-pilihannya, tetapi kami masih belum membuat keputusan mengenai masa sebenar," kata Wong.
Wong berkata keutamaannya buat masa ini "adalah mula memikirkan tentang mengatur pasukan, bagaimana kita mungkin mahu menangani keutamaan segera kita dan memanfaatkan waktu ini untuk menyesuaikan diri saya dengan tanggungjawab dan portfolio baharu saya yang lebih luas ini."
"Kami akan membuat keputusan mengenai perkara penting itu dalam masa terdekat," katanya.
Temubual itu menyentuh topik yang luas termasuk geopolitik, ekonomi global dan prospek ekonomi Singapura.
Wong dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri berkuatkuasa 13 Jun 2022.
-- BERNAMA