TPM Singapura undur diri sebagai ketua pasukan 4G PAP, beri peluang pemimpin lebih muda
Astro Awani
April 8, 2021 00:12 MYT
April 8, 2021 00:12 MYT
SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri Singapura Heng Swee Keat mengumumkan enggan dicalonkan sebagai perdana menteri selepas memutuskan untuk meletak jawatan sebagai ketua kepemimpinan generasi keempat (4G) Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Jelasnya, beliau mahu memberikan laluan kepada pemimpin lebih muda memandangkan beliau sudahpun melangkaui usia 60 tahun.
Katanya, jika mengambil alih negara pada usia yang lewat, maka tempoh kepimpinannya tidak lama.
Bagi Swee Keat, Singapura memerlukan pemimpin yang bukan sahaja boleh membina semula negara pasca COVID-19 tetapi juga mengemudi fasa seterusnya dalam pembinaan negara.
Menurut beliau, pengundurannya adalah untuk membolehkan pemimpin yang lebih muda memperoleh masa yang lebih panjang untuk mengemudi Singapura.
Keputusan untuk meletak jawatan itu sudahpun diterima Perdana Menteri Lee Hsien Loong, yang menganggapnya sebagai keputusan yang tidak mementingkan diri.
Swee Keat sebelum ini disebut-sebut bakal menggantikan Hsien Loong sebagai ketua kerajaan republik itu, selepas beliau mengumumkan hasrat berundur dan mahu melaksanakan proses peralihan kuasa.
Penganalilsis melihat keputusan Swee Keat ini, tidak menjejaskan prospek PAP menjelang pilihan raya akan datang, memandangkan parti itu mempunyai masa yang cukup panjang sebelum memilih penganti nakhoda bagi mengemudi parti berkenaan pada pilihan raya akan datang.
#Perdana Menteri
#Singapura
#TPM
#pilihan raya
#kerajaan
#Timbalan Perdana Menteri
#letak jawatan
#rakyat
#menteri
#COVID-19